Lebih dikesali, tinjauan Mingguan Malaysia di ibu negara hari ini mendapati segelintir peruncit mengambil kesempatan menjual barangan bersubsidi itu pada harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan kerajaan iaitu RM2.50 bagi setiap peket.

Peniaga pisang goreng, Norhana Shaari, 51, berkata, dia terpaksa membeli minyak masak peket pada harga lebih mahal di kedai runcit.

“Kalau minyak masak peket habis di pasar raya, saya terpaksa membelinya di kedai runcit walaupun dijual pada harga RM2.60 sehingga RM2.90,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, di JOHOR, sebahagian pasar raya dan kedai runcit di sekitar Johor Bahru didapati tidak menjual minyak masak peket akibat kekurangan atau kehabisan stok.

Pekerja sebuah kedai runcit di Permas Jaya, Samer Mohamad, 31, berkata, pembekal hanya menghantar sebanyak lima peket minyak sehari selepas sambutan Tahun Baharu Cina lalu.

Di PERLIS, jurujual di bahagian kaunter bayaran sebuah kedai memberitahu, bekalan minyak masak habis bermula hari ini, walaupun selepas pembelian dihadkan.

Di KELANTAN, bekalan minyak masak peket seolah-olah ‘ghaib’ dari rak-rak jualan pasar raya di Kota Bharu apabila barang­an bersubsidi itu langsung tidak kelihatan terutama selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Peniaga makanan, Rizal Hussin, 36, memberitahu, kekurangan bekalan minyak masak peket bermula sejak kerajaan melaksanakan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak.

Di KUALA TERENGGANU, selepas kira-kira dua minggu bekalan minyak masak dalam bentuk peket `habis’ di pasar raya, pasar mini dan kedai runcit di sekitar daerah ini, hari ini bahan masak itu kembali dijual di kebanyakan premis sekali gus memberi ke­legaan kepada para pengguna.

Tinjauan Mingguan Malaysia hari ini mendapati, bekalan mi­nyak masak dalam bentuk pek itu dijual pada harga RM2.50 sepeket dan ada halangan pembeli ter­utama para peniaga dibenarkan membeli sebanyak yang mungkin tanpa had.

Seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Kamariah berusia lingkungan lewat 50-an ketika ditemui berkata, dia berasa lega apabila berkesempatan membeli beberapa peket minyak masak di sebuah pasar raya di sini selepas dua minggu menghadapi kesulitan mendapatkan bekalan itu.

“Namun saya terpaksa juga beli yang botol untuk keperluan kedai makan saya,” katanya.

Di MELAKA, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Jaiya Abu berkata, sehingga hari ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau aduan mengenai kekurangan bekalan minyak masak.

“Kami sentiasa membuat pemantauan di semua premis yang menjual minyak masak bagi memastikan tiada pihak yang menyimpan bekalan stok berkenaan,” katanya.

Walau bagaimanapun, tinjauan di sekitar Kuantan, Pahang dan Parit, Perak mendapati bekalan minyak masak peket mencukupi walaupun berlaku kelewatan dalam penghantaran stok kepada peruncit semasa Tahun Baharu Cina.