Malah, semasa kunjungan Pegawai Daerah Kulai, Md. Za'nal Misran dan pegawai Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) ke rumahnya di Taman Sri Muhibbah di sini, semalam, Idawaty tetap tenang melayan kerenah tiga anaknya yang masih kecil termasuk leka membuai anak bongsunya berusia enam bulan.

Dia yang menjadi suri rumah sepenuh masa turut membantu suaminya, Shaari Selamat, 45, untuk mencari pendapatan tambahan dengan membuat kuih-muih berdasarkan tempahan daripada jiran, kenalan dan guru-guru di sekolah anak-anaknya.

“Dahulu boleh juga saya jual kuih dengan mendirikan khemah, tapi sekarang tidak lagi kerana saya perlu menjaga anak-anak yang masih kecil.

“Suami juga melakukan apa sahaja kerja. Kadang-kadang dia bantu angkat barang dan sebagainya. Kesian juga tengok dia kerana matanya tidak begitu baik kesan daripada bekerja sebagai jurukimpal sebelum ini,”katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Lebih menyentuh perasaan apabila Idawaty tanpa segan-silu bertanyakan kepada penulis sekiranya ada kerja kosong yang boleh diberikan kepada suaminya.

“Jadi jaga pada waktu malam pun dia boleh buat. Kalau encik ada kerja, bagi pada dialah. Kalau siang susah sikit sebab dia kena uruskan anak-anak yang bersekolah,” katanya sambil memaklumkan bayaran rumah yang didiami mereka dan bil elektrik sudah tertunggak beberapa bulan.

Sementara itu, kunjungan Md. Za'nal dan delegasi bukan sekadar bertanya khabar kepada Idawaty malah menyampaikan sumba­ngan daripada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berjumlah RM1,000.

“Kita berharap sumbangan ini dapat meringankan bebanan yang ditanggung keluarga ini,” kata Md. Za'nal sambil memberitahu pihaknya turut mengunjungi tiga keluarga lain yang memerlukan bantuan.

Sementara itu, Pegawai MAINJ Kulai, Islahudin Jalal memberi­tahu, pihaknya turut menyampaikan bantuan sebanyak RM200 dan barangan keperluan kepada keluarga berkenaan.

“Keluarga ini memang mene­r­ima bantuan bulanan sebanyak RM400 daripada MAINJ dan sumbangan yang kita berikan ini bagi meringankan lagi beban mereka," ujarnya.

Difahamkan, keluarga Idawaty turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seba­nyak RM300.