Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, nota ‘Jangan tampal di sini’ hinggalah jaring besi di kotak pengagihan (distribution box) milik TNB dan TM, pelekat-pelekat tersebut masih ditampal bagi membolehkan lebih ramai menjadi mangsa kegiatan mereka.

Tidak kisah dengan panda­ngan orang lain, pekerja-pekerja ah long terus melakukan kegiatan mereka walaupun pada siang hari secara terang-terangan membuatkan hal itu bagai tiada kesudahan.

Mungkin kini sudah masa, pihak berkuasa mengetatkan peraturan dan undang-undang yang boleh mendakwa mereka yang menampal iklan tersebut di tempat awam bagi mengelakkan vandalisme itu dikurangkan.

Perkara itu dilihat mempunyai hubung kait dengan pelbagai aktiviti jenayah yang dilakukan atas nama pemberi pinjaman wang berlesen seperti pembunuhan, peras ugut, penculikan dan sebagainya.

Seharusnya syarikat pinjaman tersebut tertakluk kepada Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Peraturan-Peraturan Pindaan 2010, di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang tidak membenarkan sebarang periklanan dilakukan.

Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi berkata, pihak kementerian bukan sahaja boleh mengeluarkan lesen bahkan perlu memantau salah guna yang dilakukan oleh kesemua syarikat tersebut.

Menurutnya, pelbagai kesalahan dilanggar oleh ah long dalam menjalankan perniagaan tetapi gagal untuk diambil tindakan kerana tiada penguatkuasaan dilakukan terhadap mereka hingga ramai menjadi mangsa kelicikan dan penipuan syarikat tersebut.

Yusuf berkata, tindakan menggantung ‘banner’ dan menampal pelekat iklan oleh pekerja itu merupakan kesalahan yang harus diambil perhatian kerana bermula dari situlah ramai akan tertipu dan menjadi mangsa ah long.

“Kementerian sering lepas tangan jika melibatkan syarikat pinjaman wang tidak berlesen. Seharusnya kementerian perlu bertanggungjawab kerana ia mempunyai bidang kuasa dalam perkara itu,” tegasnya.

Yusuf menambah, sebarang tindakan yang diambil terhadap pekerja yang menampal iklan tidak akan mampu menum­paskan kegiatan ah long, malah mereka menggunakan pelbagai medium lain termasuk pesanan ringkas dan laman sosial untuk menarik mangsa.

Ada di antara pekerja jelasnya, bukan warga tempatan dan ha­nya dibayar gaji melakukan kerja tersebut dan tidak mengetahui apa-apa mengenai operasi syarikat pinjaman itu.

“Semua harus sepakat tidak kira apa jua agensi termasuk polis untuk bertindak secara lebih holistik bagi memastikan kegiatan ah long ditumpaskan bagi mengelak ramai menjadi mangsa,” katanya.