Demikianlah perumpamaan buat seorang ibu tunggal, Ramlah Ludin, 71, dari Kampung Kempadang di sini selepas satu-satu anaknya yang menjadi harapan keluarga lumpuh seluruh badan akibat kemalangan jalan raya.

Masih terbayang dalam inga­tan wanita itu apabila anak tunggalnya, Mohd Yusairi Abu, 30, dibawa pulang oleh orang ramai ke rumahnya 10 tahun lalu dalam keadaan lemah dan luka di beberapa bahagian badan.

Kejadian kemalangan di Pantai Sepat pada Oktober 2008 itu merubah keadaan fizikal Mohd. Yusairi yang kini hanya mampu terlantar selepas mengalami darah beku di kepala.

Menceritakan semula keja­dian itu, Ramlah berkata, selepas dihantar pulang anak­nya terus dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, doktor memberitahu, Mohd. Yusairi tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya terkejut.

“Saya bawa dia pulang ke rumah. Namun kira-kira pukul 3 pagi hari sama, dia tiba-tiba terkencing di atas tilam sebelum tidak mampu mengerakkan anggota badan dan tidak sedarkan diri. Saya hantar semula ke hospital dan pemeriksaan mendapati terdapat darah beku di kepala.

“Selepas itu, anak saya terus dibedah bagi membuang darah beku itu. Lepas dibedah terus dia lumpuh seluruh badan malah tidak boleh bercakap,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Ikatan Muslimin Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Ramlah, pada mulanya doktor seakan tidak menaruh harapan untuk anaknya sembuh namun sebagai ibu dia yakin masih ada sinar khususnya apabila melihat ada perkemba­ngan positif seperti refleksi pada bahagian kakinya yang lumpuh selepas diberi rangsangan.

“Alhamdulillah, selepas me­la­kukan sesi fisioterapi dan urutan, anak saya kini sudah boleh mengerakkan tangan dan badan namun masih belum boleh bercakap. Keadaannya sudah ba­nyak berubah dalam tempoh 10 tahun ini,” katanya.

Sementara itu, katanya, dia tidak bekerja kerana terpaksa menjaga anak yang memerlu­kan perhatian sepenuhnya na­-
mun mendapat bantuan da­ri­pada Jabatan Kebajikan Ma­syarakat (JKM) dan zakat berjumlah RM600.

“Dengan duit itu saya beli keperluan anak seperti lampin pakai buang dan susu khas. Walaupun tidak banyak, cukuplah untuk membeli keperluan anak setiap bulan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Ramlah di talian 014-8208215.