Demikian juga pengorbanan seorang wanita, Siti Mariam Saud, 65, dari Kampung Jilid Tiga, Pengkalan Bujang, dekat sini yang sanggup berkorban apa sahaja demi menjaga anaknya, Noraini Embi, 47, yang diserang penyakit angin ahmar sejak dua tahun lalu.

Lebih mengharukan walaupun terdiri daripada keluarga miskin, Siti Mariam tidak pernah merungut atau mengeluh apatah lagi menganggap ia satu bebanan buatnya kerana semua dilakukan sebagai tanda sayang terhadap anaknya.

“Saya sendiri pun sebenarnya menderita pelbagai penyakit yang membataskan pergerakan terutamanya membabitkan peng­gunaan tenaga untuk meng­uruskan Noraini seharian.

“Tetapi berkat kasih sayang mendalam saya gagahi kerana jika tidak siapa lagi yang akan diharap untuk mengurus kebersihan diri dan makan minumnya,” kata ibu tabah ini.

Menurut Siti Mariam, sebelum ini dia bekerja sebagai bu­ruh di sebuah kilang arang berdekatan rumahnya dengan gaji RM15 sehari, manakala suaminya, Embi Batin, 70, mengambil upah membuat daun rokok daripada pokok nipah sebagai punca pendapatan.

“Selepas Noraini jatuh sakit dia terpaksa dibawa pulang daripada rumahnya di Tanjung Dawai untuk dijaga di sini.

“Bagi memberi sepenuh perhatian kerana dia bukan sahaja tidak mampu bergerak malah makan pun perlu diurus menggunakan tiub, saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaganya sepenuh masa,” katanya.

Kata Siti Mariam, wa­laupun Jabatan Ke­ba­­jikan Masyarakat me­nyalurkan ban­tuan sebanyak RM300 namun ia ma­sih tidak mencukupi ke­rana semua wang itu dihabiskan untuk membeli susu khas dan lampin pakai buang anak kesa­yangannya itu.

Dia juga terpaksa menjaga dan menyara lima anak Noraini berumur antara lima hingga 25 tahun yang tinggal bersamanya selepas suami anaknya itu berkahwin lain.

Semalam, pengorbanan Si­ti Mariam mendapat perhati­an Persatuan Sentuhan Kasih Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbok sesi 1969-76 yang melakukan lawatan kebajikan ke rumahnya.

Lawatan muhibah melibatkan rakan sekelas Noraini itu dike­tuai Pengerusinya, Solehah Ali serta dua bekas guru mereka di SMK Merbok

Menurut Solehah, pihaknya terpanggil melawat rakan sekelasnya itu selepas dimaklumkan oleh ibu Noraini tentang keadaan anaknya yang terlantar sakit.