Norjamilah Ewan menenangkan Nur Insyirah di Kampung Sungai Lampam,
Norjamilah Ewan menenangkan Nur Insyirah di Kampung Sungai Lampam, Sungai Manik, Pasir Salak, Perak, semalam. – Utusan /Ain Safre Bidin

Makin membimbangkan, lilitan kepala pada bayinya tidak menunjukkan kesan penyembuhan yang jelas, sebaliknya bertambah besar biarpun pelbagai cara telah diikhtiarkan termasuk rawatan susulan di hospital.

Ibu muda, Norjamilah Ewan, 26, berkata, kepala bayi perempuannya, Nur Insyirah Sadli, telah membesar sehingga 61.7 sentimeter sejak tiga minggu lalu berbanding sebelumnya iaitu 53 sentimeter.

‘’Saya amat bimbang sekarang melihat keadaannya yang muram dan kurang memberikan senyuman. Dia cuba untuk bergerak mengiring dan meniarap tetapi gagal disebabkan oleh keadaan kepalanya yang bertambah besar dan berat.

“Dalam hati, kadang-kadang terdetik memikirkan adakah saya akan terus melihatnya terbaring di katil sampai dia besar,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Lampam, Sungai Manik dekat sini hari ini.

Tambah Norjamilah, dia tidak sanggup melihat keadaan anak bongsu daripada empat beradik itu berada dalam keadaan sebegitu, justeru merayu kepada mana-mana pihak yang mempunyai kepakaran supaya dapat tampil membantu.