Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, ibu bapa mahu pun pengasuh di pusat ja­gaan kanak-kanak autisme perlu mempunyai kesabaran dan disip­lin tinggi untuk membentuk minda serta perkembangan diri kanak-kanak itu.

“Pelbagai kebolehan dan ke­upayaan intelek mereka dalam kemahiran matematik, mekanikal dan sukan mampu dikembangkan jika ibu bapa atau penjaga menyediakan pelan jangka panjang yang sistematik.

“Jika anak-anak tersebut dihantar ke pusat jagaan atau pusat intervensi, mereka harus peka tentang keperluan pembelajaran kanak-kanak itu demi masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Hari Autisme dan Karnival Simpanan Pendidikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M) Daerah Segamat di Sekolah Kebangsaan (SK) Buloh Kasap di sini semalam.

Menurutnya, ibu bapa yang mempunyai anak autisme juga seharusnya tampil ke depan bagi membolehkan anak masing-ma­sing diberi rawatan dan pendidikan bersesuaian dengan penyakit dihidapi mereka.

Hal demikian kerana, pihak­nya mendapati ada di antara ibu bapa yang malu dan berasa rendah diri untuk mendedahkan anak mereka kepada khalayak ramai.

Jelas beliau, pendedahan me­ngenai autisme masih agak rendah dalam kalangan masyarakat dan rata-ratanya sukar menerima kenyataan anak mereka mempu­nyai perbezaan berbanding ka­nak-kanak lain.

“Kurangnya pengetahuan dan sikap ego sesetengah ibu bapa juga antara penyebab golongan tersebut tidak mendapat rawatan atau terapi yang sewajarnya.

“Kewujudan persatuan se­perti kelas pendidikan khas juga banyak membantu memberikan perkhidmatan percuma kepada kanak-kanak autisme meliputi perkembangan mental dan fizikal agar dapat menyesuaikan diri de­ngan persekitaran,” katanya.