Pengerusi Shah Alam Hotel Sdn. Bhd., Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir berkata, program tersebut merupakan acara tahunan pihaknya bagi berkongsi kegembiraan bersama golongan asnaf.

“Amalan berpuasa memiliki fadilatnya yang tersendiri dari sudut kemasyarakatan dan kerohanian.

"Apabila kita berasa lapar dan dahaga, kita akan dapat merasai sendiri kesusahan golongan yang memerlukan,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Syed Yusof menambah, selain dapat mendekatkan diri dengan masyarakat, majlis tersebut diharap mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Sementara itu Pengurus Besar Hotel Concorde Shah Alam, Patrick Ng memberitahu, puasa mengajar masyarakat untuk tidak bersikap mementingkan diri sendiri dan menzahirkan budaya ingin berkongsi.

"Puasa mengajar kita bersabar dan bersyukur. Program ini mengajar kita untuk membantu golongan yang memerlukan bukan sahaja di negara kita tetapi di merata dunia,” katanya.

Selain pemberian duit raya kepada anak-anak yatim, rumah kebajikan terbabit turut menerima sumbangan derma daripada Hotel Concorde. - UTUSAN ONLINE