Hospital Lahad Datu perlukan lebih ramai pakar perubatan
Hospital Lahad Datu

Pengerusinya, Tan Cheng Teng berkata, saranan itu seiring dengan keperluan Hospital Lahad Datu yang sentiasa bersiap siaga berhadapan dengan pelbagai potensi kecemasan termasuk gempa bumi serta risiko ancaman keselamatan.

"Jabatan yang kritikal memerlukan pakar perubatan adalah jabatan Pembedahan dan Paediatrik, selain itu jabatan Psikiatri, Oftamologi dan Otorinolaringologi (ENT) juga memerlukan pakar untuk meningkatkan perkhidmatan di hospital berkenaan.

"Lebih baik sekiranya sekurang-kurangnya dua pegawai pakar ditempatkan di setiap jabatan atau unit," katanya dalam sidang akhbar di sini, malam tadi.

Ketika ini, terdapat 10 pakar perubatan di hospital kerajaan itu termasuk di jabatan Ortopedik serta Radiologi.

Cheng Teng berkata, kekurangan pakar perubatan di hospital itu juga menimbulkan kebimbangan penduduk kerana sekiranya berlaku kecemasan, pesakit terpaksa dihantar dan dirawat di hospital di luar kawasan yang jauh.

"Ketiadaan pakar di jabatan dan unit ini menyukarkan pesakit kerana apabila mereka perlu mendapatkan rawatan pakar atau kecemasan mereka perlu dihantar ke Kota Kinabalu, Tawau atau Sandakan," katanya.

Sementara itu, beliau juga mahu agar sistem keselamatan hospital daerah itu diperkukuhkan bagi memastikan keselamatan pesakit terjamin dengan menaik taraf kelengkapan keselamatan.

"Kamera litar tertutup perlu untuk membantu pihak hospital dalam kawalan keselamatan di sekitar hospital daripada aktiviti pencerobohan atau kecurian," katanya. - BERNAMA