Namun bagi sekumpulan kanak-kanak di perumahan awam Flat Sri Pulau Pinang, di sini mereka menghidupkan kembali permainan zaman sebelum kedatangan gajet dan teknologi canggih kini.

Mereka dilihat seronok bermain permainan baling selipar yang satu masa dahulu agak popular pada zaman pertengahan 80-an. Pada zaman moden ini kanak-kanak sebaya mereka lebih cenderung bermain gajet berbanding permainan tradisional.

Permainan itu juga turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti tuju selipar dan tikam selipar di mana peraturan permainan itu lebih kurang sama seperti permainan membaling tin, menariknya ia tidak memerlukan kawasan yang luas dan tiada had peserta untuk bermain.

Secara amnya permainan tersebut terbahagi kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan di pihak pembina (PG) dan satu kumpulan lagi di pihak pembaling (PL).

Kumpulan di pihak PL perlu meruntuhkan binaan selipar yang didirikan dan mematikan anggota ahli kumpulan PG satu persatu sebelum mereka mendirikan semula selipar tersebut bagi mengekalkan hayat ahli dan penambahan mata permainan.

Jika tidak berjaya maka peralihan pasukan pembina akan bertukar tempat. Dalam masa yang sama setiap ahli kumpulan PL tidak dibenarkan mengejar pihak PG sambil membawa selipar tetapi perlu membuat asingan kepada rakan lain untuk mematikannya.

Peralatan yang digunakan dalam permainan itu ialah empat pasang selipar yang disusun secara menegak berbentuk piramid dan satu belah selipar akan dipegang oleh salah seorang ahli pasukan PL untuk membuat balingan.

Bagaimanapun, dengan arus teknologi yang semakin bergerak deras sekarang ini, permainan itu semakin dilupakan dan tidak lagi menjadi pilihan kebanyakan kanak-kanak pada hari ini.

Oleh itu, masyarakat atau penggemar permainan tradisional perlu berusaha untuk mengambil langkah-langkah bagi memartabatkan atau mempergiatkan kembali permainan itu kepada kanak-kanak yang kian leka bermain dengan gajet. - UTUSAN ONLINE