Antara program itu adalah Jelajah UMNO Bantu Rakyat anjuran Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) menyaksikan orang bukan Me­layu turut menerima sumbangan yang diberikan sepanjang aktiviti itu dijalankan.

Pengerusinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, itu membuktikan bahawa perjua­ngan UMNO bukan saja mem­bela kebajikan orang Melayu yang menjadi teras kepada parti itu, tetapi realiti sebenarnya adalah lebih meluas.

Beliau berkata, UMNO meng­anggap perbezaan negara ini yang mempunyai penduduk berbilang kaum sebagai satu ke­lebihan dan keistimewaan yang mengukuh­kan keazaman rakyat untuk hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni.

“Agenda perjuangan ini adalah terjemahan kepada perkara yang sering disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya UMNO sentiasa menjadi pembela kepada rakyat dan tidak sepatutnya terhad kepada orang Melayu semata-mata.

“Walaupun program ini dianjurkan oleh UMNO, semua orang boleh lihat sendiri bahawa orang bukan Melayu juga menerima sumbangan yang diberikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Jelajah UMNO Bantu Rakyat 2.0 peringkat UMNO Bahagian Tampin, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa dan para pemimpin UMNO bahagian berkenaan.

Dalam program itu, seramai 300 pelajar di daerah Tampin menerima sumbangan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) manakala 1,000 keluarga miskin dan tidak bernasib baik menerima bantuan barangan keperluan harian.

Para peserta jelajah turut menziarahi keluarga lima pesakit kronik, manakala 10 buah rumah dibaik pulih sistem pendawaian elektrik yang dijayakan dengan kerjasama GiatMara.

Klinik motosikal percuma turut dibuka di lokasi perasmian program juga anjuran GiatMara.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berpuas hati dengan maklum balas dan reaksi ditunjukkan orang ramai terhadap jelajah selama dua hari itu sejak semalam meliputi negeri ini dan Melaka.

“Selain GiatMara, kami turut menerima permintaan daripada beberapa institusi kerajaan yang mahu turut serta menjayakan program bersama rakyat,” kata­nya.