SYED JAMARULKHANS. KADIR

Peningkatan harga juga akan berlaku sekiranya kerajaan Pakatan Harapan meneruskan hasrat untuk menaikkan tarif elektrik.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (Mimcoin), Datuk Syed Jamarulkhan S. Kadir berkata, selepas cukai barang dan perkhid­matan (GST) disifarkan pada 1 Jun lalu, pengusaha restoran India Muslim telah menurunkan harga jualan di premis mereka.

“Saya menjangkakan apabila SST dilaksanakan mungkin tidak berlaku perbezaan harga yang ketara dan sama seperti ketika adanya GST.

“Sewaktu GST dilaksanakan, enam peratus cukai dikenakan kepada pelanggan dan menjadikan harganya lebih tinggi, sekarang harga sudah diturunkan tetapi apabila adanya SST harga jualan akan kembali seperti dahulu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Presiden Mimcoin, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak serta Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim), Datuk Dhajudeen Shahul Hameed.

Jelas Syed Jamarulkhan, pengguna perlu memahami sebab kenaikan harga jualan dan tidak menyalahkan peniaga sepenuhnya kerana peningkatan itu berlaku disebabkan kerajaan.

“Jika kerajaan benarkan tarif elektrik dinaikkan dan laksanakan SST, tetapi dalam masa yang sama mahu harga jualan diturunkan nanti siapa yang terpaksa menanggung kos (kenaikan) tersebut?” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syed Jamarulkhan yang mewakili beberapa pertubuhan perniagaan India Muslim melahirkan rasa kecewa dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail kerana mendakwa ‘restoran mamak’ masih mengekalkan harga lama walaupun GST disifarkan.

“Pada pandangan kami kenya­taan itu rasis, tertumpu pada satu kaum dan cubaan menuduh seolah-olah kami tidak jujur dalam menjalankan perniagaan.

“Kenapa beliau perlu menamakan restoran India Muslim sahaja, adakah pengusaha lain sudah mematuhi arahan tersebut?” katanya.