Mungkin semangat itu sesuai untuk digambarkan kepada usaha seorang pemuda, Mohd. Hairul Nizam yang memanfaatkan keberkesanan perniagaan berkonsepkan ‘car boot sales’ dalam melariskan produk jualan.

Namun apa yang menjadi kelainan, Mohd. Hairul, 33, bukan menjual produk atau barangan terpakai seperti selalu dilihat dalam jualan car boot sales, sebaliknya anak kelahiran Kulim, Kedah itu menjual hasil pertanian, buah nanas.

Menggunakan kereta Alza, dia menjual nanas daripada varieti Josapine itu di beberapa kawasan tumpuan ramai sekitar Sungai Buloh sejak sebulan lalu.

“Sejak saya berhenti kerja operator kilang di Kedah dan Pulau Pinang, duit simpanan sebanyak RM1,000 saya guna sebagai modal perniagaan.

“Alhamdulillah kini perniagaan berjalan lancar walaupun tanpa gerai khusus atau tapak perniagaan. Sebaliknya hanya beroperasi di tempat letak kereta berkupon,” katanya kepada Utusan Online.

Menurut Mohd. Hairul, dia mendapatkan bekalan nanas daripada pemborong di Pontian, Johor.

Sebanyak 1,000 biji dibeli seminggu dan disimpan di rumahnya di Kuang.

“Sehari saya mampu menjual 200 biji bermula pukul 8 pagi hingga 9 malam. Adakalanya buah nanas ini habis dijual pada pukul 4 petang bergantung kepada cuaca” jelasnya.

Tiga lokasi yang menjadi tumpuan Hairul berniaga adalah Paya Jaras, Bandar Baru Sungai Buloh dan Saujana Utama.

Harga jualan ditetapkan RM10 untuk tiga nanas madu hasil benih kacukan negeri nanas Johor dan Sarawak. - UTUSAN ONLINE