Telatah gembira kanak-kanak terlibat cukup menyentuh hati guru-guru berkenaan diibaratkan seperti ibu mereka kerana insan istimewa itu bukan sahaja diberikan basikal, tetapi turut disediakan pakar terapi untuk membimbing.

Presiden Impian, Datin Dr. K. Mangalaveni berkata, sumbangan basikal oleh Bank Rakyat bersama pakar terapi itu amat dihargai.

“Kami umpama ibu dan ayah kepada anak-anak istimewa di sini. Bank Rakyat amat memahami dan menjiwai keperluan mereka. Hati ibu mana yang tidak gembira apabila ada pihak membawa hadiah istimewa buat anak-anak kami.

“Bagi individu yang tidak memiliki anak-anak istimewa, amat sukar untuk memahami perasaan sedih atau gembira kanak-kanak berkenaan. Tetapi, kami tahu isi hati mereka. Mereka tunjukkan kegembiraan itu. Hanya kami yang boleh menterjemahkannya. Jika anda boleh mentafsirkan apa yang isi hati mereka luahkan, tidak mustahil anda juga akan menangis,” ujarnya.

Beliau menyatakan perkara itu selepas sesi terapi basikal kelolaan Bank Rakyat yang dikendalikan oleh pakar terapi basikal kanak-kanak istimewa iaitu Pengasas iKayuh Untuk Autisme Malaysia, Rozki Abu Samah.

Naib Presiden Kanan, Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, terapi basikal itu disediakan bagi meningkatkan ketahanan fizikal dan membantu kanak-kanak autisme membiasakan diri dengan persekitaran luaran secara lebih tenang.

“Aktiviti ini memerlukan latihan berterusan selama lima hari dan mengambil masa kira-kira 75 minit setiap satu sesi latihan,” ujarnya.

Dalam sesi latihan fasa pertama buat kanak-kanak tersebut hari ini, Pengurus Perhubungan Awam dan Penjenamaan Korporat Bank Rakyat, Nizam Abu Samah hadir sama.