AHMAD RUZAIZI MAHMOOD bersama anak-anaknya yang menerima sumbangan daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad setelah kematian isterinya di Kuala Terengganu, baru-baru ini. - MINGGUAN/ AZLAN BAHRUM

Bapa kepada enam anak berusia antara tujuh hingga 18 tahun itu turut mengakui terkejut setelah dimaklumkan mengenai sumbangan daripada yayasan ber­kenaan kepada isterinya yang juga seorang guru sedangkan arwah tidak mendaftar sebagai ahli YGMB.

“Memang saya terkejut apabila dapat panggilan daripada unit perhubungan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu mengenai sumbangan daripada YGMB ini.

“Apatah lagi dalam saat-saat begini, ada satu badan yang prihatin terhadap warga guru khususnya keluarga saya. Terima kasih YGMB," katanya ketika ditemui dalam majlis penyampaian bantuan kepada guru-guru yang menjadi mangsa banjir di sini baru-baru ini.

Ahmad Ruzaizi menerima sagu hati sebanyak RM1,000 yang di­sampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat di sini.

Yang turut hadir Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.

Ahmad Ruzaizi, menambah, dia yang menetap di Kampung Beting Lintang, Besut akan menggunakan sumbangan tersebut untuk keperluan pembelajaran enam anaknya selain bercadang mengadakan majlis tahlil arwah.

Menceritakan kehidupannya dengan anak-anak sejak kematian isteri, Ahmad Ruzaizi mengakui anak-anaknya agak sukar menerima hakikat ibu kesayangan pergi menghadap Ilahi dalam sekelip mata.

“Mereka sukar terima hakikat yang ibu mereka 'pergi' secara mengejut. Lainlah kalau arwah sebelum itu menderita sakit. Memang kematian 'mengejut' arwah cukup terkesan buat saya dan anak-anak.

“Namun, kami tetap reda de­ngan ketentuan Ilahi dan Allah lebih sayangkan dia (isteri). Alhamdulillah, kerana arwah telah beri didikan agama kepada anak-anak. Insya-Allah. Saya tabah ha­dapi dugaan ini dan saya kena lebih kuat untuk anak-anak,” katanya sebak.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang pada 22 Januari lalu, Masni yang merupakan guru Kolej Vokasional Besut mati lemas setelah terperangkap di dalam kereta yang dipandunya dalam kejadian banjir di Besut.

Lebih menyayat hati, Masni, 44, sempat menelefon Ahmad Ruzaidi dalam keadaan cemas meminta tolong apabila kereta­nya gagal dikawal ketika meredah jalan yang digenangi air dan perlahan-lahan dihanyutkan ke dalam parit.