Keperluan melahirkan pemimpin berkualiti perlu bermula dari sekarang supaya golongan tersebut mampu menangani setiap permasalahan dengan bijaksana.

Gerakan Belia 4B Malaysia menyedari tentang keperluan itu dan mahu melahirkan seramai mungkin pemimpin belia dalam menyertai mana-mana organisasi belia di negara ini.

Sehubungan itu, satu Konvensyen Remaja 2017 telah berlangsung di ibu kota yang diadakan selama tiga hari, bermula 13 Januari lalu dengan penyertaan seramai 120 orang, terdiri daripada mereka berumur 15 hingga 25 tahun.

Bagi merealisasikan hasrat itu, pertubuhan tersebut mengambil inisiatif meminda perlembagaannya dan menubuhkan Gerak Remaja.

Pengerusi Gerak Remaja Gerakan Belia 4B Malaysia, Muhammad Aimanajmi Abdul Halim berkata, pihaknya memainkan peranan dalam setiap slot konvensyen tersebut bagi mencungkil bakat serta potensi anak muda bagi menonjolkan sifat kepemimpinan dalam kalangan peserta.

“Tidak keterlaluan kalau dikatakan kita memerlukan warga belia yang mempunyai keberanian, kebijaksanaan, ketegasan dan berwawasan.

“Namun ia tidak bermaksud kita memerlukan belia yang diklonkan 100 peratus seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Cukuplah sekadar mereka mampu menjadi tunjang serta pendokong negara bangsa Malaysia,” katanya.

Konvensyen itu juga menjadi platform wacana bagi membimbing kepemimpinan muda melontarkan buah fikiran dan pandangan selaras dengan matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Pada majlis penutup konvensyen tersebut, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan Muhammad Rafii mengajak belia merealisasikan misi dan visi Perdana Menteri dalam menjayakan TN50.

“Konvensyen yang dianjurkan ini wajar dipuji kerana pertubuhan belia itu berusaha melahirkan lebih ramai kepemimpinan muda di bawah usia 25 tahun,” katanya.

Berikut merupakan hasil Konvensyen Remaja 2017.

  • Memberi kesedaran tentang penyediaan generasi pelapis serta penghayatan dan menyemai semangat kesukarelaan.
  • Mewujudkan rangkaian kepemimpinan muda untuk bersama mengupayakan persatuan belia sambil memberi pendedahan kepada peserta berkenaan tugas dan matlamat sukarelawan belia.
  • Mengenal pasti belia berpotensi sebagai pemimpin dan meningkatkan semangat kesukarelawan, daya juang dan kepekaan sosial.
  • Mendapatkan perhatian Kementerian Belia dan Sukan mengenai isu ketandusan kepemimpinan muda dalam kalangan pertubuhan belia yang berusia bawah 25 tahun.
  • Menganalisis diri peserta dalam konteks ‘Kepemimpinan Muda Cemerlang’.
  • Memahami kepemimpinan adalah suatu proses pengaruh dalam organisasi.
  • Membentuk motivasi diri dalam memberi sumbangan dan bantuan kepada orang lain.
  • Memahami konsep seperti komunikasi berkesan, semangat berpasukan, pengurusan masa, stres dan konflik.
  • Membentuk rangka tindakan untuk menerbitkan sikap yang betul dalam proses mendorong sifat kepemimpinan muda ke arah kecemerlangan.