Nasib lelaki berusia 40 tahun itu hanya disedari seorang peniaga malam semalam ketika dia datang ke kedainya untuk makan.

Kasihan dan bimbang kecederaan lelaki itu bertambah buruk, peniaga tersebut kemudiannya menghubungi bomba.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Mohd. Arbain Saarani berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.57 malam.

"Sebaik sampai, anggota bomba melakukan pemeriksaan pada jari kelingking kiri mangsa dan mendapati sebentuk cincin besi tersekat menyebabkan jari mangsa bengkak teruk dan luka," katanya.

Jelas Mohd. Arbain, disebabkan keadaan luka yang agak parah, mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang dan operasi pemotongan cincin dilakukan di unit kecemasan hospital berkenaan.

"Kami menggambil masa kira-kira 40 minit untuk memotong cincin pada jari mangsa menggunakan alat khas pemotong cincin "Air Ring Cutter'.

"Operasi itu mengambil masa yang agak lama kerana cincin tersebut diperbuat daripada logam keras selain kami perlu berhati-hati kerana lukanya agak dalam," ujarnya.

Tambahnya, sebaik cincin berjaya dipotong, mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan selanjutnya. - UTUSAN ONLINE