karnival
 

Projek amal yang dinamakan Karnival Amal Mini merupakan acara sehari, bermula pada pukul 8 pagi sehingga 6 petang, menggalakkan orang ramai hadir berhibur sambil menderma serta melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Salah seorang anggota sukarelawan untuk Karnival Amal Mini, Kuzie Ku Pengiran, 41, berkata, beliau mempunyai sebab mengapa terpanggil untuk sama-sama membantu NADI menganjurkan Karnival Amal Mini.

“Saya memahami perasaan mereka yang menghidap penyakit yang memerlukan rawatan kerana saya adalah cancer survivor yang mana untuk kos rawatan dan perubatan menelan belanja sekiranya tidak mempunyai perlindungan insurans.

“Jadi, apabila pihak NADI mahu menganjurkan karnival amal bagi mengisi tabung yang disalurkan untuk membantu kanak-kanak diabetes di Malaysia yang kebanyakan ibu bapa kanak-kanak ini datangnya dari golongan kurang berkemampuan maka saya menawarkan diri untuk sama-sama menjayakan karnival amal ini,” katanya.

Menurut Kuzie yang mempunyai latar pengalaman dalam bidang perniagaan sebelum melepaskan butik miliknya baru-baru ini kerana menjalani rawatan kanser yang dihidapinya, secara sukarela beliau menawarkan diri untuk mengepalai penjualan booth atau gerai pada hari karnival mini berlangsung.


“Saya menggunakan pengalaman dan rangkaian untuk menjual 20 booth atau gerai di tapak karnival mini di mana semua hasil jualan gerai dibayar terus kepada NADI bagi mengisi tabung yang akan disalurkan kepada kanak-kanak yang menghidap diabetes type 1 (one).


“Jangka hayat kanak-kanak ini tidak panjang sekiranya mereka tidak mendapat rawatan terutamanya suntikan dan jarum, insulin dan sebagainya memerlukan wang,” ujarnya.

Kata Kuzie lagi, jualan pelbagai makanan, pakaian dan produk adalah salah satu tarikan ke karnival amal selain daripada acara lelong barang-barang peribadi milik aktor popular tanah air, Datuk Seri Eizlan Yusof.

Selain itu, tambah Kuzie lagi, gerai permainan juga dibuka di Karnival Amal Mini anjuran NADI selain daripada persembahan artis-artis tanah air.

Pada pukul 8 pagi, acara zumba akan diketuai oleh selebriti Sherrie Al-Junied yang dibuka kepada orang ramai secara percuma.

Lain-lain artis yang akan mengadakan persembahan amal ialahNajwa Latif, Reena Nicky, Ayu Damit, Baggio Damasutra, juara Ceria Pop Star musim pertama, adik Nur Amira Syahira, Rozita Rohaizad, Azidan Aziz, Erwan Muhibbain, Izzmad Harun, Maisarah, Meer Nash dan kumpulan Treehill.

Turut memeriahkan persembahan artis, Mel Hannah, Khalis Real Spin dan Jay Pedro. Acara karaoke amal juga dibuka untuk pengunjung yang mengunjungi Karnival Amal Mini anjuran NADI. - UTUSAN ONLINE