Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor berkata, pemberian di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) disalurkan dalam bentuk keperluan harian, dan juga pemberian wang zakat berjumlah RM45,600 bagi membantu 456 anak-anak yatim itu.

"Kita tahu keperluan asrama Perkaya amat mendesak, jadi inilah peranan yang kita mainkan, jadi tanggngjawab sosial kita adalah untuk membantu golongan yang memerlukan agar dapat menikmati kehidupan lebih selesa.

"Daripada perolehan EPIC pada tahun lalu mencecah hampir RM300 juta dengan keuntungan bersih hampir RM20 juta, maka kita tidak lupa terhadap tanggungjawab untuk mengembalikan keuntungan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk," ujarnya.

Beliau menyatakan demkian kepada pemberita ketika meraikan anak-anak yatim itu sempena Majlis Hari Raya di Asrama Perkaya, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Perkaya, Datuk Tengku Mahmud Mansor, Timbalan Yang Dipertua Perkaya, Harun Hassan, Naib Yang Dipertua Perkaya, Datuk Sheikh Harun Sheikh Ismail dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Wan Shukri Mohammad.

Menurut Noor Fadzil, sepanjang tahun lalu pihaknya telah membelanjakan hampir RM1 juta bagi mengadakan pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial seperti membantu dalam bidang pendidikan, sekolah-sekolah tahfiz dan golongan asnaf lain.

Menurut beliau, dengan keuntungan syarikat yang disasarkan terus meningkat, peruntukan di bawah CSR akan turut ditambah dan kegiatan juga dapat diperluaskan.

"Melihat kepada trend kenaikan harga minyak, aktiviti pelabuhan kembali rancak dan perolehan EPIC dijangka mencecah RM400 juta," ujarnya. - UTUSAN ONLINE