Namun Siti Azrynna Rosly, 13, bersama tiga adiknya, Mohd. Farys, 12; Siti Norhidayah, 9, dan Mohd. Yusriey, 9, berhasrat untuk kembali ke sekolah sekiranya ada mana-mana pihak tampil membantu meringankan bebanan ibu bapa mereka.

Kesemua mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bedal di sini tercicir dari alam persekolahan sejak lebih setahun lalu disebabkan masalah kewangan yang melibatkan perbelanjaan menyediakan pakaian, peralatan sekolah dan wang saku.

Ibu mereka, Nik Haliza Nik Hassan, 34, berkata, anaknya sebelum ini tidak berminat ke sekolah kerana sering diejek oleh rakan-rakan kerana terpaksa memakai pakaian seragam sekolah yang lusuh.

“Selain gagal menyediakan keperluan kewangan yang cukup bagi perbelanjaan membeli makanan di sekolah, anak-anak saya tidak tahan diejek rakan mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya, dekat sini, hari ini.

Nik Haliza berkata, masalah itu juga menyebabkan dia terpaksa mengabaikan pendidikan awal untuk anaknya, Siti Aisyah, 5, yang sepatutnya memasuki kelas Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) pada tahun ini.

“Keadaan kewangan kami mungkin akan bertambah serius apabila saya melahirkan seorang lagi anak kira-kira lima bulan lagi, sekarang saya sarat mengan­dung,” katanya.

Nik Haliza berkata, suaminya, Rosly Awang Mat, 43, hanya be­kerja sebagai penoreh getah dan kadang-kadang mengambil upah menebang pokok serta meracun rumput dengan pendapatan tidak menentu di antara RM200 hingga RM300 sebulan.

“Pada musim hujan lebat, dia akan hilang punca pendapatan disebabkan tidak boleh ke ladang untuk menoreh dan meracun rumput.

“Pada ketika itu kami ha­nya bergantung kepada bantuan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan tetapi wang itu hanya mencukupi untuk membayar hutang makanan di kedai berdekatan.

“Kadang-kadang peniaga tidak lagi memberi kami untuk berhutang kerana masih terdapat hutang lama yang tertunggak dan tidak mampu dilunaskan.

“Kami sekeluarga kerap terpaksa ‘mengikat perut’ kerana ketiadaan beras,” ujarnya.