MASZLEE MALIK (tengah) ditemani Mas Imran Adam (kiri) berbual dengan salah seorang daripada 50 golongan asnaf sempena Jamuan Hari Raya di Pasaraya Econsave Simpang Renggam, Kluang, Johor, semalam.

Atas kepekaan syarikat tersebut dalam membantu komuniti setempat, Econsave telah diiktiraf sebagai Syarikat Penyayang peringkat negeri oleh Iskandar Malaysia.

Malah, semalam Econsave turut memberikan sumbangan kepada 50 orang golongan asnaf sempena Jamuan Hari Raya yang diadakan di Pasaraya Econsave Simpang Renggam yang turut dihadiri Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik yang juga Menteri Pendidikan.

Pengurus Operasi Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam memberitahu, antara program CSR utama yang dijalankan pihaknya adalah dengan me­ngumpulkan sebanyak RM2.5 juta bagi pembinaan sekolah di Gaza, Palestin.

Menurutnya, Sekolah Alfalah yang terletak di Gaza kini sudah beroperasi dan menempatkan 1,500 pelajar, terutamanya anak-anak yatim.

“Selain itu, pada penghujung tahun lalu Econsave juga telah mengutip sebanyak RM250,000 bagi mengisi Tabung Rohingya untuk dise­rahkan kepada pela­rian Rohingya yang menetap di Bangladesh.

“Kini kami sedang menggerakkan program Madrasah Impianku yang bertujuan untuk melengkap­kan madrasah, khususnya yang terdapat di negeri ini dengan peralatan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Program tersebut dianjurkan Econsave dengan kerjasama beberapa agensi, antaranya MY Care dan Pintar Johor dan sejak dilancarkan tiga bulan lalu, usaha itu telah mengumpul sebanyak RM500,000.

Mas Imran berkata, dalam masa sama, pihaknya turut be­kerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjayakan program Amal Muafakat Johor dengan menjual pakaian dan barangan terpakai hasil sumbangan pelbagai pihak.

“Kutipan diterima hampir RM200,000 dan telah diserahkan kepada pihak memerlukan, antaranya membayar kos pembedahan orang kurang upaya (OKU), membaiki rumah usang dan membeli van jenazah.

“Econsave turut komited memberi bantuan secara one-off kepada individu yang dirasakan layak mendapat bantuan tersebut dengan pemberian baucar antara RM1,000 hingga RM1,500,” katanya.