Tidak ada mana-mana ibu ingin melihat anak yang dilahirkan hanya mampu terlantar di atas katil, namun itulah yang paling disyukuri Rusnani Mat Ghani, kerana itu menandakan anaknya, Adamia Fitri Mat Rahim, masih di sisi meskipun pernah dua kali ‘disahkan’ mati oleh pihak hospital.

Anak kecil itu menghidap masalah paru-paru kronik sejak lahir disebabkan oleh komplikasi ketika pembedahan caesarean. Keadaannya semakin teruk selepas usia mencecah setahun.

Menurut Rusnani, 42, sejak lahir lagi Mia (panggilan manja), tidak boleh makan dan minum susu seperti kanak-kanak normal lain kerana paru-parunya tidak berfungsi.

Justeru, kanak-kanak comel ini terpaksa bergantung dengan salur tiub di hidung untuk memberinya susu.

Dia aktif seperti kanak-kanak seusianya, tetapi tumbesaran terbantut disebabkan masalah yang dihadapi dan hanya mempunyai berat sekitar 3.6 kilogram sahaja ketika umurnya setahun.

Ketika umurnya mencecah setahun, Mia juga telah menjalani prosedur Gastrostomy Tube (perut ditebuk) kerana tidak boleh lagi diberi susu melalui hidung.

“Pembedahan berjalan lancar dan Mia dalam keadaan stabil. Namun, keesokan harinya, ketika jururawat sedang menukar lampin Mia, jantungnya terhenti tiba-tiba.

“Doktor berusaha melakukan bantuan pernafasan (CPR) namun tidak berjaya. Luluh hati saya apabila doktor mengesahkan kematian Mia sedangkan baru sebentar tadi Mia aktif bermain dengan jururawat.

“Ketika itu, saya sudah reda dengan pemergian Mia dan menghubungi keluarga untuk melakukan urusan pengebumian.

“Namun, tiada siapa dapat menduga takdir Ilahi, selepas sejam jantungnya berhenti, nadi Mia kembali berdenyut. Kalau difikirkan logik akal, sukar nak percaya tapi itulah ujian Allah kepada kami dan keajaiban boleh berlaku jika ditakdirkan oleh-Nya.

“Selepas doktor melakukan intubation (memasukkan tiub pernafasan ke paru-paru), jantung Mia kembali berfungsi,” katanya ketika dihubungi di kediamannya di Kampung Banggol Judah, di Machang, Kelantan baru-baru ini.

Namun menurut Rusnani, akibat terlalu lama tidak menerima oksigen, keadaan kesihatan Mia semakin merosot dan mula merebak ke bahagian hati dan buah pinggang, tetapi masih aktif seperti biasa.

Kegembiraan mereka sekeluarga kerana masih berpeluang memeluk dan mencium kanak-kanak itu, tidak bertahan lama apabila sebulan kemudian jantung Mia sekali lagi terhenti selama 45 minit.

Selepas tiga kali doktor membuat CPR, sekali lagi berlaku keajaiban, dia kembali bernafas.

Namun, selepas kejadian tersebut Mia disahkan menghidap palsi serebrum (cerebral palsy atau CP) dan sejak itu hanya terbaring di atas katil.

“Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya apabila berhadapan dengan dua ‘kematian’ Mia. Saya seakan-akan trauma dengan apa yang berlaku, saya takut Mia pergi lagi.

“Setiap hari adalah hari yang menakutkan untuk saya, bimbang saya tak dapat tengok Mia lagi. Jadi, setiap hari saya menghargai kenangan-kenangan yang saya lalui bersama dia.

“Meskipun tiada lagi senyum tawa, hanya matanya sahaja berkedip, itu sudah cukup menggembirakan saya. Sebagai ibu, saya tetap bersyukur dapat melihat dia membesar sebagai kanak-kanak berusia empat tahun,” ujarnya yang turut mempunyai empat anak lain.

Rusnani dan suami, Mat Rahim Mat Hassan perlu memperuntuk kira-kira RM1,000 sebulan bagi membeli susu, lampin pakai buang, dan kos ulang alik ke hospital.

Jumlah tersebut dianggap cukup membebankan memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai buruh binaan yang memperoleh pendapatan sekitar RM45 sahaja sehari dan dia pula tidak bekerja kerana perlu menguruskan Mia.

Keadaan itu membuatkan keluarga tersebut hidup terhimpit, malah terpaksa mengikat perut demi memastikan Mia mendapat susu sebagaimana dinasihatkan doktor.

Buat masa ini, Rusnani sudah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300, bantuan membeli peralatan pernafasan dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Selain itu, keluarga tersebut turut memperoleh bantuan kewangan daripada Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial yang melancarkan kutipan tabung bantuan untuk anaknya.