Norshazuahaniza Hanim Mohamad Esam mula memikul tanggungjawab itu selepas kehilangan ayahnya, Mohamad Esam Haron pada 2014 setelah ibunya, Khatijah Ibrahim pergi terlebih dahulu pada 2011.

Dia yang merupakan pelajar Tingkatan Enam Atas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2 berkata, ibu dan bapanya meninggal dunia akibat penyakit kencing manis kronik.

“Setelah ibu dan ayah tiada, saya perlu berdikari bukan sahaja bagi menguruskan diri, malah juga adik saya, Norshazreen Haniza yang kini tinggal di rumah Persatuan Kebajikan Darul Hanan Johor Bahru, di sini.

“Mujurlah ayah dahulu bekerja sebagai tentera. Jadi, kehidupan saya dan adik ditanggung sepenuhnya menggunakan wang pencen sebanyak RM1,300 sebulan ketika ini,” katanya ditemui di kediaman keluarganya di Taman Scientex, di sini kelmarin.

Norshazuahaniza Hanim berkata, wang pencen itu juga digunakan untuk membayar sewa rumah RM650 sebulan selain membeli barangan keperluan harian untuk mereka berdua.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak khususnya saudara-mara dan jiran yang terus membantu dan memberi sokongan kepada kami,” katanya yang mahu menjadi seorang kakitangan kerajaan suatu hari nanti.

Adiknya, Norshazreen Haniza amat berterima kasih dengan pengorbanan yang dilakukan kakaknya bagi menguruskan kehidupan mereka.

“Saya amat menghormati dan berterima kasih kepada kakak kerana membantu menjaga saya setelah ketiadaan ibu dan ayah,” katanya yang bercita-cita menjadi pereka fesyen atau chef.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad yang mengunjungi dua beradik berkenaan berjanji akan membantu termasuk memastikan mereka dapat meneruskan pendidikan.

“Saya akan membantu mereka untuk membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan kebajikan sama ada menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ataupun Baitulmal,” katanya.