Ahmad Safii, 42, dan Nor Ziana Majid, 32, pernah melalui detik sukar selepas doktor mengesahkan anak sulung dan bongsu mereka menghidap pe­nyakit sama.

Akibat penyakit itu kedua-dua anaknya, Nor Syahidawani, 16, dan Muhamad Khairul Azmi, 10, hanya terbaring serta tidak mampu berdiri dengan sempurna.

Hanya anak keduanya, Nor Alia Nadia, 13, disahkan normal dan belajar di sekolah agama di Felda Chiku 2.

Menurut Nor Ziana, ramai yang tidak menyangka anak sulungnya sudah berusia 16 tahun kerana saiz badannya seperti kanak-kanak kecil walaupun sudah meningkat remaja.

Katanya, kedua-dua anaknya menunjukkan simptom penya­kit berkenaan seawal umur lapan bulan yang menyebabkan sukar untuk mengawal keseimbangan badan ketika duduk atau merangkak.

“Anak kami tidak seperti kanak-kanak normal lain apabila mereka hanya mampu menjerit dan menangis jika lapar, sakit atau mahukan sesuatu.

“Kami tidak mampu membiayai rawatan penyakit ini yang mencecah kos ribuan ringgit untuk anak sulung kami. Kami hanya sempat membuat rawatan untuk Muhamad Khairul Azmi.

“Disebabkan itu, fizikalnya lebih baik berbanding kakak­nya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Nor Ziana berkata, mereka juga bersyukur apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meringankan beban mereka apabila memberi bantuan bulanan sebanyak RM300 seorang kepada anaknya.

Katanya, suaminya hanya bekerja ladang di sini dengan gaji kira-kira RM1,000 sebulan.

“Anak kami hanya bergantung kepada ubat-ubatan yang dibekalkan dan membawanya membuat rawatan di Hospital Kuala Krai selama enam bulan sekali,” katanya.