Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang pertama kali dianjurkan kelab tersebut bersama maahad tahfiz bertujuan mengeratkan silaturahim sesama ahli yang ditubuhkan di Johor Bahru, Johor berkongsi kegembiraan dengan pelajar di madrasah berkenaan.

Presiden SAM, Datuk Abdul Halim Sulaiman berkata, pada program itu, kesemua ahli kelab Dragon Bikers menyertai konvoi selama lebih dua jam dari Johor Bahru dan singgah di madrasah tersebut.

Katanya, mereka kemudian menyampaikan sumbangan berupa beras, makanan dan keperluan harian seperti kopi dan teh yang keseluruhannya berjumlah kira-kira RM20,000 kepada 70 pelajar maahad tahfiz itu.

"Ini merupakan program pertama kelab ini dengan maahad tahfiz tetapi sebelum ini SAM dan kelab ini sering menyertai pelbagai program kemasyarakatan di seluruh negara.

"Penyertaan kami dalam program-program amal seperti ini bagi mengikis imej negatif yang sering dilemparkan terhadap golongan penunggang motosikal berkuasa besar atau 'bikers' seperti kami yang selama ini sering dianggap sebagai penyebab kepada kemalangan atau sering mendominasi jalan raya," katanya ketika ditemui selepas program itu.

SAM merupakan sebuah pertubuhan untuk penunggang motosikal berkuasa tinggi 600cc ke atas yang ditubuhkan sejak tahun 2004 dan penaungnya ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Eksekutif dan ketika ini SAM memiliki lebih 50,000 ahli daripada 5,000 kelab motosikal yang berdaftar dengan pertubuhan itu. - UTUSAN ONLINE