Yang Dipertua DPMMNK, Mohamad Ali Amin Abdul Latif berkata, skuad prihatin DPMMNK dengan kerjasama RTM, hari ini berkonvoi menaiki 20 buah kenderaan pacuan empat roda ke Pulau Pinang dalam misi bantuan banjir bagi fasa pertama pada tahun ini.

"Tabung bagi fasa pertama akan dibuka sehingga hujung tahun ini dan pihak kami akan sentiasa bersiap sedia seandainya berlaku lagi bencana di tempat lain khususnya dinegeri ini.

"Antara peralatan yang kami sumbangkan bagi fasa pertama hari ini adalah 300 helai selimut, 500 guni beras, makanan tambahan, pakaian dan air mineral.

"Seramai 50 orang daripada skuad prihatin DPMMNK telah bertolak ke Pulau Pinang pada pukul 11 pagi tadi. Mereka akan dibantu oleh pihak Dewan Negeri Pulau Pinang ke lokasi penempatan mangsa disana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Pelepasan Konvoi Skuad Prihatin DPMMNK di Perkarangan RTM negeri, Wakaf Che Yeh, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah RTM negeri, Noriani Idris berkata, pihaknya juga turut sama menghantar satu kumpulan yang dikenali sebagai Team Ambik Caro (TAC) bagi memberi liputan dari semasa ke semasa perkembangan mangsa banjir di sana kepada pihak terbabit.

"Kita juga mendapat kerjasama daripada beberapa saluran lain seperti Nasional FM, Asyik FM dan Mutiara FM," ujarnya. - UTUSAN ONLINE