Ini kerana Pok Dir, 78, menerima kunjungan rombongan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) diketuai Pengerusinya, Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali sebagai DJ Dave dan salah seorang pemegang amanah yayasan terbabit, Datuk Jamaludin Elias atau Nash Lefthanded.

Senyuman lelaki warga emas itu juga bertambar lebar apabila DJ Dave yang merupakan penyanyi pujaan beliau, sudi menyanyikan lagu pertama pernah dirakamkan, 'Ku Tak Ingin Menangis Lagi' khusus untuknya.

"Tak sangka betul hari ini ada rombongan YKAT, ada Datuk DJ Dave, ada Datuk Nash datang rumah saya. Kalau ikutkan saya bukanlah nama besar dalam dunia filem tapi mereka sudi juga datang.

"Tak ada apa yang boleh saya katakan selain ucapan terima kasih tidak terhingga kerana sudi ziarah saya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kedai Lalat, di sini.

Sementara itu, DJ Dave pula berkata, selepas membaca laporan berita keadaan Pok Dir yang uzur dan perlu berulang-alik ke hospital, pihaknya segera membuat perancangan untuk melawat pelakon veteran berkenaan.

"Alhamdulillah, hari ini kami dapat turun padang dan bertemu sendiri Pok Dir serta sampaikan sedikit sumbangan kepada beliau.

"Sebenarnya artis veteran ini bukan perlukan bantuan kewangan sahaja, tetapi mereka perlukan kita untuk menghargai atau mengiktiraf mereka selain menerima kata-kata semangat supaya cepat sembuh," katanya.

Menurut DJ Dave, YKAT akan terus komited membela nasib artis yang terdiri daripada penyanyi, pemuzik dan pelakon tanpa mengira bangsa dan agama terutama artis veteran.

Baru-baru ini, keadaan kesihatan Pok Dir dilaporkan bertambah buruk termasuk kabur penglihatan dan uzur sehingga terpaksa berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Pok Dir pernah membintangi filem arahan P. Ramlee sebagai pelakon tambahan seperti Kanchan Tirana, Ali Baba Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok serta beberapa filem lagi.

Dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, Pok Dir merupakan penyamun pertama yang dijirus dengan minyak panas oleh Marjina yang merupakan lakonan Seniwati Datuk Sarimah Ahmad. - UTUSAN ONLINE