Menurut Harun, pemberian bantuan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPRT) itu amat bermakna kerana keadaan rumah yang didiaminya bersama cucu perempuan dan pasa­ngan serta dua cicitnya sebelum ini amat daif dan tidak selesa.

“Saya berterima kasih de­ngan pemberian rumah PPRT ini yang memberi kehidupan kami lebih selesa berbanding rumah sebelum ini. Sebelum ini, kami terpaksa tinggal di baluh padi yang agak sempit, atap bocor serta lantai yang berlubang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baloh, Kok Lanas di sini hari ini.

Dalam pada itu, cucunya, Suraya Rosli, 29, berkata, sebelum ini, dia bersama suami serta anak-anaknya menyewa rumah di Kok Lanas, namun dia membuat keputusan pulang ke kampung untuk menemani datuknya setelah nenek meninggal lima tahun lalu.

“Keadaan rumah kami yang diubah suai daripada baluh padi sebelum ini agak daif sehingga anak bongsu saya pernah terjatuh ke­rana lantai yang berlubang. Jadi, pemberian rumah PPRT ini sangat bererti buat kami,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Kok Lanas), Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, pihaknya telah berusaha membantu Harun mendapatkan rumah baharu setelah melihat kedaifan yang dialami mereka sekeluarga.

“Setelah menerima mesej daripada Suraya yang memohon untuk bantuan rumah PPRT, saya telah turun padang untuk melihat keadan rumah mereka dan ternyata agak teruk.

“Oleh sebab itu, saya segera memohon bantuan rumah PPRT untuk mereka dan ini adalah salah satu daripada tiga buah rumah yang diberi bantuan segera,” katanya.­

Tambah beliau, pihaknya te­lah membantu membaik pulih lebih 500 buah rumah serta membina 20 buah rumah PPRT di kawasan DUN Kok Lanas dalam tempoh dua tahun.