Bapa kepada tiga anak ini boleh menarik nafas lega kerana akhirnya keluarganya tidak perlu lagi menumpang di Balai Raya Pulau Kambing selepas rumah dan semua kelengkapan musnah dalam kebakaran pada 23 September lalu.

"Sebelum ini saya rasa hilang arah tuju. Saya beritahu pada isteri (Chua Bee Kim,45) dan anak-anak yang kami mungkin akan tinggal lama di balai raya sekurang-kurangnya tiga bulan sehingga kehidupan kembali stabil.

"Saya sangat terharu dan tidak sangka ini berlaku menjelang pesta cahaya. Terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman  dan pihak-pihak lain yang ambil berat nasib kami," katanya kepada pemberita di kediaman transit di Projek  Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di sini hari ini.

 Peniaga itu memberitahu, rumah yang disewanya sejak 21 tahun lalu di Pulau Kambing musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 6 pagi dipercayai akibat litar pintas.

Katanya, ketika kejadian mereka sekeluarga tiada di rumah kerana menyertai acara Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2017.

Menurutnya, walaupun pesta cahaya disambut secara ala kadar tetapi mereka sekeluarga tetap bersemangat menanti kunjungan sanak saudara dan kenalan.

"Tahun depan kalau ada rezeki saya ingin menjemput Menteri Besar dan mereka yang banyak membantu, sehingga kami boleh beraya di rumah yang lengkap dengan perabot," katanya. - UTUSAN ONLINE