PENDUDUK tempatan terdiri daripada kalangan wanita berbaris panjang bagi mendapat kicap, sos, susu dan teh sempena Program Sedekah Jariah di Kampung Masjid Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah semalam.

Kumpulan wanita berkenaan dari 20 kampung di sekitar Tikam Batu dan Bumbung Lima, Pulau Pinang masing-masing mendapat satu bungkusan kecil mengandungi kicap, sos, susu dan teh melalui projek jariah tersebut.

Bekas Pegawai Pendidikan (PPD) daerah Kuala Muda dikenali sebagai Cikgu Ghani itu berkata, dia hanya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk me­ngagihkan bantuan berkenaan.

“Orang ramai sudah membanjiri rumah saya seawal 6.30 pagi walaupun saya bercadang untuk mengagihkan bantuan pada pukul 8 pagi. Jadi bantuan diagihkan lebih awal kerana saya tidak mahu mereka menunggu lama,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abd. Ghani, sebelum bantuan diagihkan, maklumat mengenainya ditularkan dalam Facebook dan laman media sosial lain.

“Mereka yang berhajat untuk menerima sumbangan itu perlu berbaris dengan setiap seorang hanya layak menerima satu bungkus sahaja barangan tersebut.

“Projek Sedekah Jariah akan diteruskan dan orang ramai perlu mengikuti pengumuman mengenainya dari semasa ke semasa,” katanya.

Abd. Ghani dikenali oleh penduduk tempatan sebagai seorang yang suka menderma menerusi pelbagai aktiviti yang dikelolakan termasuk pemberian kerusi roda kepada individu memerlukan.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang berminat untuk menyertai Projek Sedekah Jariah boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Maybank 5574 1051 5106 miliknya.