Ketua Perhubungan Kerajaan dan Tanggungjawab Korporat Celcom Axiata, Saiful Bahrin Abd Ghaffar berkata, tujuh universiti berkenaan adalah Universiti Malaysia Kelantan (UMK); Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
 
Beliau berkata, menerusi projek itu, setiap universiti akan dibekalkan dengan dua buah 'food cart' bernilai RM50,000 yang lengkap dengan alatan menggoreng dan peti sejuk beku untuk kemudahan pelajar asnaf terpilih menjalankan perniagaan.

"Pelaksanaan projek ini akan dimulakan di UMK pada Februari ini sebelum diikuti universiti-universiti lain.

"Selain memberi 'food cart' percuma kita juga akan sediakan kemudahan wifi dan aplikasi 'boost' bagi menggalakkan pembelian tanpa tunai dalam usaha membudayakan ekonomi digital dalam kampus," katanya selepas mesyuarat Majlis Tindakan Kumpulan Keusahawanan (AGE Council) di Kampus Kota UMK, Pengkalan Chepa di Kota Bharu hari ini.

Mesyuarat itu telah dipengerusikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah. Yang turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Husaini Omar.

Celcom Axiata adalah salah satu daripada 10 syarikat yang menjadi ahli tetap AGE Council yang mendokong visi keusahawanan UMK sejak tahun lalu.

Sementara itu, Saiful Bahrin berkata, pihaknya kini sedang dalam proses menandatangani perjanjian strategik dengan 10 buah lagi universiti awam bagi menjalankan projek sama. - UTUSAN ONLINE