Mohamad Dhiaulddin Mohd. Sabri berkata, dia mengalami penyakit gangguan saraf ketika berusia enam bulan sehingga mengakibatkannya mengalami kesukaran untuk bergerak dengan normal.

Katanya, masalah kesihatan yang dihadapinya itu tidak menghalangnya daripada menceburkan diri dalam bidang jahitan sejak dua tahun lalu malah usaha itu mendapat galakan daripada ibu bapanya.

“Saya memasuki kelas jahitan di Pusat Latihan Kraftangan Epal (Pusat Epal) sebelum mahir menggunakan mesin jahit tanpa bantuan orang lain selepas enam bulan.

“Kemudian, pada Disember tahun lalu, saya diberi kepercayaan oleh Pusat Epal untuk menjadi tenaga pengajar di sini sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui di gerai pameran Pusat Epal sempena penganjuran Karnival Usahawan Desa (KUD) 2017 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Mohamad Dhiaulddin berkata, setakat ini, dia telah menguasai kemahiran untuk menjahit beg, baju dan hiasan dinding.

Katanya, dia bercita-cita untuk membuka kedai dan kelas jahitan bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) menjana pendapatan secara berdikari.

“Produk jahitan seperti beg buatan tangan mampu dijual dengan harga yang tinggi sekiranya dipasarkan di pasaran antarabangsa,” katanya.