Sama ada perbuatan itu disengajakan atau tidak, namun mentaliti sesetengah masyarakat yang mengambil langkah mudah dengan membuang sampah, mahupun objek-objek lain dari tempat tinggal mereka memburukkan lagi keadaan.

Paling teruk ialah penduduk di aras bawah kerana melihat sampah bertaburan juga pekerja pembersihan di kawasan berkenaan yang terpaksa mengemaskan kawasan.Balingan objek dari atas menyebabkan penduduk mahupun orang ramai yang berjalan di bawah boleh mengundang bahaya apabila objek berkenaan boleh menyebabkan kecederaan.

Kadang-kala air kotor dan air ludah turut menimpa penduduk yang berjalan di bawah.

Baru-baru ini pengalaman yang sama telah dialami oleh penulis sebaik selesai melakukan tugasan di sebuah rumah pangsa di ibu kota. Beratus-ratus helaian kertas berupa koyakkan buku tulis, kertas-kertas nota dan sebagainya terbang melayang dari tingkas atas blok rumah pangsa 16 tingkat tersebut.

Menurut Pengerusi Penduduk Rumah Pangsa Seri Sarawak, Kuala Lumpur, Mohd. Azmi Zakaria, kejadian membaling objek dari tingkat atas rumah pangsa itu boleh dikatakan agak sering berlaku di kawasan berkenaan.
Ini termasuk sampah, batu, dan dan ada juga penukul besi.

“Saya pun hairan mengapa mereka membuang sampah dan objek dengan sewenang-wenangnya. Adakah mereka lakukan dengan senjaga atau tidak? Siapakah pelakunya. Adakah orang dewasa atau kanak-kanak atau mereka yang mengalami masalah hilang kewarasan mahupun kerana sikap mereka.

“Kita akan sedaya upaya menyiasat perkara tersebut untuk memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi. Apabila kami siasat dan dapat dapat dikenal pasti individu yang melakukannya, mereka akan dikenakan tindakan.

“Ini kerana membaling objek dari tingkat atas adalah amat membahayakan kerana dikhuatiri akan terkena kepada mereka yang berada di bawah, mencemarkan pemandangan sekeliling, tiada sivik dalam diri  dan sebagainya,” katanya.   – UTUSAN ONLINE