Murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Saujana itu dilihat kali terakhir semasa bermain bersama adiknya, Mohd. Dani Aqasha, 7, dan seorang rakan mereka di sekitar kawasan perumahan berkenaan.

Neneknya, Rohaya Nemat, 49, berkata, kali terakhir dia berjumpa cucunya itu pada pukul 9.30 pagi hari kejadian sebelum keluar bekerja dan sempat memberi wang belanja serta turut berpesan kepada Qaseh Qumairah Damia supaya pergi ke sekolah.

“Tengah hari itu sepatutnya dia ke sekolah dengan dihantar ibunya tetapi disebabkan hujan dia tak ke sekolah. Kali terakhir dilihat dia memakai baju T dan berseluar sukan sekolah

“Semasa keluar bermain dia tak salin pakaian lagi. Menurut Mohd. Dani Aqasha, sebelum hilang, dia bersama kakaknya itu dalam perjalanan balik ke rumah. Kakak­nya berada di belakang manakala Mohd. Dani Aqasha dan seorang rakan berjalan di hadapan sebelum mendapati kakaknya tiada dan kira-kira pukul 5.30 petang, ibunya memaklumkan cucu saya itu hilang,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Pada mulanya Rohaya tidak rasa bimbang kerana menyangka cucunya itu diambil bapanya, namun keesokannya, dia dibe­ritahu bekas menantunya tidak mengambil Qaseh Qumairah Damia lalu segera melaporkan kejadian kepada pihak di balai polis.

“Pelbagai usaha kami lakukan untuk mengesannya termasuk dengan kaedah tradisional. Apa yang kami harapkan agar dia dijumpai dan pulang dengan selamat,” katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang cucu pertama­nya itu supaya menghubungi talian 012-7137372 atau 012-7665546.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Rahmat Othman mengesahkan ada menerima laporan kejadian tersebut dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.