Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Ang Nickson, 30, diusung dari tingkat 11 hotel berkenaan apabila dia didapati tidak mampu untuk menggerakkan seluruh bahagian kanan badannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd. Din berkata, mangsa yang berasal dari Johor Bahru itu sedang bercuti di negeri ini sejak dua hari lalu bersama isteri dan dua anaknya.

Menurutnya, seramai 12 anggota dan pegawai bomba dihantar ke lokasi kejadian sebaik me­nerima panggilan kira-kira pukul 9.35 pagi dari pihak Hospital Me­laka yang meminta bantuan bagi membawa mangsa turun dari hotel dan dibawa ke hospital.

“Mangsa dipercayai diserang strok, lalu tidak mampu untuk bergerak. Pihak hotel tidak mampu mengusung mangsa lalu memanggil ambulans yang kemudiannya meminta bantuan bomba.

“Sejurus mendapat panggilan, pihak bomba menghantar sebuah jentera, sebuah lori muatan satu tan dan sepasukan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) untuk me­ngusung mangsa turun ke bawah dan dibawa ke hospital,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini.

Kamarulzaman memberitahu, mangsa sekadar terbaring di atas katil sambil ditemani isteri dan dua anaknya sementara menanti bantuan tiba.

“Kes telah diselesaikan sepenuhnya pukul 10.44 pagi dan mangsa kini mendapatkan rawatan di Hospital Melaka serta dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.