Rekaan robot mesra alam yang dihasilkan daripada bahan-bahan terpakai dan kitar semula ciptaan mereka nyata berjaya memikat hati juri pertandingan.

Mereka menewaskan 19 pasukan lain dalam pertandingan akhir yang berlangsung selama tiga hari baru-baru ini, melibatkan murid sekolah rendah dari seluruh negara.

Sebagai juara mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM6,000, percutian keluarga selama tiga hari dua malam ke Legoland Malaysia Resort dan hadiah iringan lain. Naib juara pula dimenangi SK Bukit Rokan Utara dari Negeri Sembilan dan tempat ketiga, SK Stella Maris dari Perlis yang masing-masing menerima wang tunai RM2,000 serta hadiah iringan lain.

Paddle Pop Young Builders Award 2017 yang dianjurkan oleh Paddle Pop dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, merupakan pertandingan tahunan peringkat kebangsaan bertujuan memupuk kesedaran terhadap alam sekitar

Pengarah Pemasaran Makanan dan Minuman Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd., Shiv Sahgal, berkata, pertandingan tahun ini menyaksikan peningkatan penyertaan dari sekolah-sekolah seluruh negara.

“Ini membuatkan pusingan akhir lebih sengit dan kompetitif. Juri pertandingan turut melahirkan rasa kagum dengan kreativiti dan usaha yang dilakukan oleh murid-murid ini,” katanya pada majlis perasmian pertandingan akhir di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan.

Menurut Shiv, pertandingan ini merupakan platform untuk mendidik murid-murid mengenai pelbagai jenis bahan yang boleh diguna, dibuat dan dikitar semula dengan cara yang berinovasi dan menyeronokkan.