Kira-kira 80 penunggang daripada dua kelab permotoran, Men On Wheels (MOW) dan Women On Wheels (WOW) menjayakan program Community Policing di Pondok Polis Pengkalan Balak dekat sini, baru-baru ini.

Ahli kedua-dua kelab termasuk pegawai serta anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan Balai Polis Masjid Tanah sama-sama menjalankan gotong-royong membersihkan pekarangan Pondok Polis Pengkalan Balak.

Selain itu, mereka juga membaik pulih peralatan serta kelengkapan di premis berkenaan.

Presiden MOW Malaysia, Ahmad Rithaudden Abd. Razak berkata, tujuan program adalah untuk mengeratkan hubungan ahli-ahli kelab dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bikers boleh menjadi mata dan telinga kepada PDRM bagi membantu pasukan keselamatan itu dalam mencegah jenayah serta menjaga ketenteraman awam,” katanya kepada Utusan Online di sini, baru-baru ini.

Yang hadir sama ialah Naib Presiden MOW, Abd. Rahman Aziz; Timbalan Presiden MOW, Mohd. Yussof Ahmad; Presiden WOW, Suhaila Husin; Naib Presiden WOW, Masayu Mohtaram dan Pemangku Ketua Balai Polis Masjid Tanah, Sarjan Abu Hurairah Mohd. Tahir.

Menurut Ahmad Rithaudden, kedua-dua kelab berkenaan turut menyerahkan televisyen diod pemancar cahaya (LED) 40 inci dan hamper kepada anggota-anggota di pondok polis itu hasil sumbangan Timbalan Pengarah 1 Gerakan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Azizan Abd. Aziz serta ahli-ahli kelab.

Ahmad Rithaudden memberitahu, sehari sebelum itu, kira-kira 100 ahli kelab dan keluarga masing-masing mengadakan perhimpunan dan sukaneka di sebuah pusat peranginan di lokasi berhampiran.

Jelasnya, program seumpama itu merupakan acara tahunan bermatlamat merapatkan silaturahim sesama ahli terutama bagi mereka yang baru menyertai kedua-dua kelab berkenaan.

“Insya-Allah, program sebegini akan diteruskan pada masa-masa hadapan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE