Penyelaras majlis berkenaan, Shukry Ramli berkata, usaha untuk mengumpulkan bekas pelajar tingkatan empat dan lima Maktab Sultan Ismail itu telah dirancang sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, sebelum ini perjumpaan tersebut tidak dapat diadakan kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya dan tidak dapat memberi komitmen untuk hadir.

“Melalui beberapa perbincangan, akhirnya majlis perjumpaan ini berjaya direalisasikan. Perjumpaan seumpama ini membuatkan kami rasa seperti kembali ke zaman persekolahan kerana ba­nyak nostalgia dikongsi kembali.

“Perjumpaan ini juga sebagai permulaan untuk kami me-rancang pelbagai lagi program termasuk membuat pemilihan jawatan sebelum mendaftar sebagai persatuan selain mewujudkan tabung ahli,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini, malam tadi.

Antara alumni Maktab Sultan Ismail dari 1973 hingga 1974 ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abd. Rahim Md. Radzi dan Pengerusi Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.

Sementara itu kata Shukry, maj­lis perjumpaan tersebut bertambah meriah apabila turut dihadiri oleh bekas Pengetua Maktab Sultan Ismail yang berkhidmat pada 1973 dan 1974 iaitu Abdul Rahman Mohd. Ali yang ketika ini berumur 76 tahun.

Dalam pada itu ujarnya, perjumpaan kedua tahun ini akan dianjurkan di Kota Bharu, Kelantan dan selepas ini pihaknya me­rancang untuk mengadakan maj­lis sama pada setiap tahun bagi mengeratkan silaturahim sesama mereka.