Kisah ini dikongsi oleh Adlina, seorang penjawat awam kepada wartawan S2 baru-baru ini yang kesal kerana suaminya berubah setelah berjumpa dengan cinta hati lamanya di majlis itu.

“Kejadian bermula tiga tahun lalu apabila suami ketika itu memaklumkan dia mahu ke Port Dickson untuk satu acara sukan antara jabatan, tempatnya bekerja.

“Ketika itu, saya sedang berpantang selepas melahirkan anak kedua kami. Jadi, saya tidak mengesyaki apa-apa waktu itu kerana sebelum ini, dia tidak pernah ‘buat perangai’ dengan perempuan lain,” katanya.

Ketika itu, Adlina yang menjalani tempoh berpantang di kampung tidak mengesyaki suaminya ketika itu bukanlah menghadiri acara sukan, sebaliknya majlis reunion sekolah menengah.

“Seminggu kemudian, saya pulang semula ke rumah kami. Saya perasan suami ketika itu tidak beri perhatian sangat kepada anak-anak, sebaliknya galak membalas mesej di telefon.

“Apabila saya tanya, dia beritahu itu mesej daripada rakan pejabat mengenai hal kerja. Jadi, saya diam dan tidak bertanya lanjut,” katanya.

Ada ketika, Adlina ditinggalkan keseorangan bersama anak-anak sementara suaminya tidak pulang ke rumah dengan alasan mahu menyiapkan projek yang sedang dikendalikannya.

Adlina ketika itu masih lagi tidak mengesyaki suaminya mempunyai hubungan sulit sehingga suatu hari, Adlina menerima satu mesej daripada seorang rakan sekolah suaminya.

“Pada mulanya, rakan dia agak takut hendak beritahu bahawa dia terserempak suami saya di Langkawi bersama kekasih lamanya yang juga rakan sekelas mereka.

“Kerana kasihan, rakan itu memberitahu perkara sebenar kepada saya beserta gambar. Rupa-rupanya hubungan mereka berdua terjalin selepas majlis reunion itu. Siapa yang tidak terkejut.

“Hati saya hancur luluh dan terfikir apa salah saya sehingga suami sanggup curang. Saya kenal dia sebagai seorang lelaki yang baik dan percaya dia menyayangi saya sepenuh hati,” katanya.

Setelah pulang, dia bertanyakan hal itu kepada suaminya. Pada mulanya, lelaki itu seboleh-bolehnya menafikan perbuatan curangnya itu, namun setelah diasak berkali-kali, akhirnya suami mengaku.

Kata Adlina, dia tidak percaya sama sekali akan berhadapan dengan dugaan seperti itu dan tidak boleh menerima apa yang dilakukan suaminya itu.

“Boleh dikatakan bekas suami saya ini memang pandai berlakon di depan saya. Bermula dari saat itu, suami saya sudah tidak mesra dengan saya dan ada waktu, dia tidak pulang ke rumah sehingga berhari-hari. Apabila diajak berbincang tentang tanggungjawab dan anak-anak, dia mengelak,” katanya.

Perubahan diri bekas suami mendorong Adlina mendapatkan bantuan di pejabat agama dan akhirnya dia mengambil keputusan untuk meminta suami melepaskannya.

Selepas tiga tahun, Adlina serik untuk mencari pengganti dan kini, hanya memikirkan tentang kebahagiaan anak-anak.

“Bukan mudah hati yang terluka hendak sembuh. Tetapi apabila melihat muka anak-anak, saya jadi bersemangat. Mujur saya ada kerjaya, jadi tidaklah terlalu bergantung kepada lelaki untuk menyara kami. Pengajaran untuk saya, jangan percaya lelaki 100 peratus walaupun dia suami kita,” katanya.