Che Saad Noordin, 67, berkata, kayuhan tersebut yang dinamakan #Jejakwira2017 itu bertujuan menzahirkan rasa terima kasih kepada bekas-bekas prajurit yang pernah berjuang atau gugur dimedan pertempuran mempertahankan tanah air sebelum dan selepas merdeka terutama ketika darurat.


“Kayuhan kali ini berbeza dengan apa yang saya lakukan tahun lalu iaitu sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-59.


“Ini kerana ia sertai oleh tiga lagi rakan iaitu Sulaiman Baharom, 51, (pesara tentera), Said Saad, 52, (bekas anggota komando polis) dan Zaki Nor Musa, 46, dari Pasir Puteh, Kelantan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.


Che Saad memberitahu, mereka akan berhenti di setiap kawasan yang telah ditetapkan untuk berjumpa dengan bekas prajurit negara.


Katanya, kayuhan tersebut telah dimulakan pada 8 Januari lalu dan dijangka akan tamat pada 10 Febuari depan.


“Sepanjang kayuhan tersebut kami telah berjumpa dengan beberapa bekas pejuang negara untuk bertanya khabar mengenai perkembangan mereka ketika ini,” ujarnya - UTUSAN ONLINE.