Demikian perasaan pilu yang ditanggung seorang ibu dari Felda Kesumba Jengka 9, di sini apabila bayi sulungnya yang berusia 10 bulan menderita 10 jenis penyakit termasuk tiada lubang dubur dan saluran ken­cing, kaki kiri lebih kecil, usus di luar badan, masalah jantung serta pernafasan.

Nurul Syahfika Kamarul Aiani, 20, berkata, anaknya, Mohammad Rafa Mikael Shafiq dilahirkan tidak cukup bulan pada 27 Mei tahun lalu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh dan terus dimasukkan di unit rawatan rapi (ICU).

Katanya, bayi itu turut me­nerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kini memerlukan penjagaan rapi selepas tujuh bulan ditempatkan di kedua-dua hospital tersebut termasuk beberapa kali menjalani pembedah­an sebelum dibenarkan pulang awal tahun ini.

“Pembedahan yang dijalankan da­pat mengesan jantina bayi kami ini seorang lelaki tetapi kemaluannya masih tersembunyi.

“Saya tidak dapat menggambarkan perasaan sedih apabila melihat keadaannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya hari ini.

Menurutnya, pembedahan di­la­kukan bagi menebuk dua salur­an di badan Mohammad Rafa Mikael untuk laluan air ken­cing, air besar dan membetulkan keduduk­an usus perutnya.

Katanya, doktor akan me­la­kukan pembedahan susulan untuk meletakkan usus perut anaknya itu pada kedudukan sebenar ketika usianya lebih setahun nanti.

“Kami perlu membawanya ke Hoshas dua kali sebulan manakala sebulan sekali ke HKL dan Hospital Jengka untuk pemeriksaan serta rawatan susulan,” katanya yang kini hamil enam bulan.

Nurul Syahfika berkata, keluar­ganya menghadapi masalah kewangan kerana memerlukan per­belanjaan tinggi untuk membeli pampers, susu khas dan lain-lain keperluan Mohammad Rafa Mikael selain kos berulang-alik ke hospital.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh ber­buat demikian menerusi akaun Maybank Nurul Syahfika 156141389758 atau Shafiq 156141543389 atau me­ng­hubungi talian 010-9207206.