Begitulah nasib seorang bayi berusia 42 hari, Nur Qaireen Nayla yang disahkan menghidap penyakit lebihan cecair di dalam kepala atau kepala besar.

Bayi kepada pasangan Mohammad Nursyafiq Mohd. Rizal, 22, dan Fatin Nur Aisya Shahrin, 19, dari Kampung Pasu dekat sini itu juga disahkan menghidap masalah tulang belakang terbuka dan kecacatan di bahagian kaki kiri yang tidak berfungsi selepas dilahirkan.

Fatin Nur Aisya berkata, ketika kandungannya berusia 28 minggu, doktor di Hospital Lipis yang membuat imbasan memberitahu tentang saiz kepala anaknya yang besar dan me­mintanya membuat pemeriksa­an susulan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.

“Doktor pakar di Hoshas me­ngesahkan kandungan saya me­ngalami masalah penyakit lebihan cecair. Saya tertekan apabila mendengar berita ini, namun tetap berdoa supaya anak saya selamat.

“Ketika kan­dungan berusia 39 minggu iaitu pada 5 September lepas, saya melahirkan Nur Qaireen secara pembedahan di Hoshas dan pakar mengesahkan ukur lilit kepala bayi ini tidak normal,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan hari ini.

Menurut Fatin Nur Aisya, doktor juga mengesahkan bayi­nya itu mengalami masalah tulang belakang terbuka serta bahagian kaki sebelah kiri yang tidak boleh dibengkokkan.

Sehingga kini katanya, Nur Qaireen Nayla menjalankan tiga kali pembedahan di Hospital Su­ngai Buloh, Selangor untuk menutup bahagian tulang belakang yang terbuka dan membuang le­bihan cecair di dalam kepala.

Jelasnya, dia perlu menyediakan sebanyak RM2,500 sebulan untuk rawatan anaknya itu termasuk kos pengangkutan berulang-alik ke Hospital Sungai Buloh.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan penderitaan keluarga itu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Fatin Nur Aisya (CIMB:7607159182) atau terus menghubunginya di talian 011-26919729.