Anaknya, Muhammad Hudzaifah disahkan menghidap penyakit ekzema kronik sejak dilahirkan dan kisah bayi tersebut menjadi tular di laman sosial seperti Facebook.

Menurut Ahmad Safawi, dia menghargai kata-kata semangat dan doa yang diucapkan orang ramai termasuk melalui laman Facebook isterinya, Mariati Ismail, 29.

“Tidak kurang juga ada yang cuba mengambil kesempatan dengan menawarkan khidmat rawatan tradisional dan produk masing-masing.

“Saya menerima apa sahaja cadangan secara positif dan berlapang dada manakala pandangan negatif saya abaikan,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin di rumahnya di Kampung Sempang Baru, Raub di sini hari ini.

Menurut Ahmad Safawi, anaknya itu menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira seminggu sebelum dibenarkan keluar Selasa lalu.

Katanya, selepas seminggu dirawat di hospital berkenaan, penyakit Muhammad Hudzaifah menunjukkan perkembangan positif.

“Saya perlu memantau pemakanan dan aktivitinya terutama yang melibatkan sentuhan kerana bimbang kuman merebak,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata, dalam lawatan tersebut, pihaknya menyumbangkan sebanyak RM5,000 bagi kegunaan keluarga Ahmad Safawi.

“Kita juga ingin melihat jenis bantuan yang boleh dihulurkan kepada bayi berkenaan. Sekiranya ada keperluan lain yang diperlukan, kami cuba ikhtiarkan,” katanya.-UTUSAN ONLINE