Ibunya, Nur Kartini Abdul Karim, 32, berkata, Nur Khalisha Aisyah Muhamad Azziem terpaksa menjalani pembedahan sehari selepas dia dilahirkan pada 13 April lalu bagi menyambung semula saluran pemakanan dengan usus.

“Selepas pembedahan itu, anak saya tidak dapat bernafas secara normal seperti kanak-kanak lain kerana apabila dia bernafas, saluran akan tertutup. Sebab itu, anak bongsu saya terpaksa menggunakan bantuan mesin pernafasan.

“Masalah sukar bernafas juga membuatkannya tidak aktif dan hanya mampu terbaring selain perlu menggunakan tiub untuk minum susu. Kalau mahu diban­dingkan dengan bayi seusianya, berat anak saya baru mencecah lima kilogram,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Terdahulu, Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Sungai Petani menerusi Program Ziarah Skuad Sayang dengan diketuai Wan Mohalina Wan Mohamad menyampaikan sumbangan RM1,000 dan barang-barang keperluan kepada bayi tersebut.

Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, Nur Khalisha Aisyah kini perlu mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Sultan Abdul Halim di sini dan Hospital Pulau Pinang berhubung penyakit yang dialaminya itu.

“Dengan pendapatan suami sebanyak RM1,500 sebulan, kami perlu berulang alik ketiga-tiga hospital tersebut untuk menjalani rawatan susulan. Tidak lama lagi, dia perlu menjalani CT scan (imbasan berkomputer) di Hospital Pulau Pinang bagi mengesan sama ada paru-paru anak bongsu saya itu bermasalah atau tidak.

“Kebanyakan gaji suami digunakan untuk ke hospital. Namun kami bernasib baik kerana pihak syarikat suami iaitu Rapid Penang memberikan sebuah mesin pernafasan yang berharga RM10,300 bagi memudahkan anak bongsu saya bernafas,” ujarnya.

Sementara itu, orang ramai yang bersimpati untuk menghulur sumbangan boleh menggunakan akaun Maybank 507415304834 milik Muhamad Azzim atau menghubunginya di talian 017-4383287.