Terbaharu, seorang bayi berusia lima bulan cedera parah di muka gara-gara sikap ambil mudah pengasuh di sebuah taska di Pandan Indah tentang aspek penjagaan kanak-kanak itu.

Nur Ameena Nabila Ahmad didakwa digigit dan dicakar kanak-kanak lain setelah dipercayai ditinggalkan pengasuh.

Menurut bapa bayi itu, Ahmad Mat Seman, 44, Nur Ameena Nabila terpaksa menerima rawatan pakar selepas kecederaan serius di muka sehingga terpaksa ditahan di wad hospital.

Kata Ahmad, kecederaan itu bukan kali pertama terhadap anak bongsu daripada lima beradik itu kerana seminggu sebelum ini, bayi itu pernah dikesan mempunyai lebam di bahagian kepala.

“Kira-kira pukul 1.45 tengah hari semalam saya menerima panggilan daripada taska mengatakan anak saya dicakar oleh seorang lagi kanak-kanak yang berusia setahun yang turut dijaga di situ.

“Saya diberitahu hanya berlaku kecederaan biasa, namun alangkah terkejutnya apabila melihat keadaan anak saya yang mempunyai kesan kecederaan teruk di muka dan seolah-olah keletihan apabila saya datang ke taska itu.

“Saya kemudian meminta penjelasan namun hampa apabila pemilik taska itu bersikap berdolak-dalik. Wanita itu langsung tidak menunjukkan sikap bersalah dan tidak sekalipun meminta maaf,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad menyatakan, dia terpaksa membuat laporan polis tentang perkara itu kerana bimbang kejadian terbabit berulang kepada kanak-kanak lain.

“Saya telah beri peluang kepada pemilik taska itu untuk memberi penjelasan tetapi dia bersikap sebaliknya seakan-akan perkara ini adalah kecil baginya.

“Dia juga tidak hairan apabila saya mahu melaporkan kepada polis tentang kejadian itu,” katanya yang trauma untuk menghantar anaknya itu ke mana-mana taska lagi.

Beliau turut memberitahu akan menggunakan khidmat peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap taska terbabit supaya menjadi pengajaran kepada ibu bapa yang lain.