Bayi tersebut, Siti Nur Aaira Ameera Mohd. [email protected] Ridzuan Isa kini hanya mampu tidur selama dua jam dan kerap merengek menahan sakit disebabkan penyakit kegagalan hati  atau 'billary atresia' yang dihidapinya.

Ibunya, Siti Zubaidah Abd. Jalil, 41, berkata, anaknya itu dilahirkan normal pada 18 Ogos tahun lalu, namun disahkan oleh pihak hospital menghidapi penyakit kuning berpanjangan dan memerlukan rawatan susulan.

Dia dan suaminya, Mohd. Mamdoh kerap berulang-alik ke Hospital Pontian dan Hospital Sultanah Aminah  (HSA) Johor Bahru untuk membawa anak bongsu daripada lima beradik itu bagi mendapat rawatan dan pemeriksaan ultrasound.

“Pada usia empat bulan, perut Aaira semakin membuncit, manakala mata putihnya berwarna kekuningan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Kuali, Serkat di sini.

Siti Zubaidah yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Permas Kelapa memberitau, rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengesahkan anaknya menghidapi 'billary atresia'.

“PPUM telah mencadangkan Aaira menjalani pemindahan hati sebelum umurnya mencapai usia setahun,” katanya sambil memberitahu anak bongsu daripada lima beradik berkenaan bergantung dengan susu formula khas berharga RM70 setin yang dibeli di sebuah farmasi di Johor Bahru dan hanya mampu bertahan untuk dua hari. - UTUSAN ONLINE