Bagi Mohd. Zaini Shamsudin, 34, dia bagaikan patah harapan apabila anak ketiganya, Muhammad Fakhrudin Basuki, 11 bulan disahkan menghidap leukemia sehingga terpaksa menjalani rawatan kemoterapi manakala isterinya pula mengalami masalah tulang belakang sehingga terpaksa dibedah.

Menurutnya, Muhammad Fakhrudin yang dipanggil Udin disahkan mengalami masalah terlebih sel darah putih pada Disember lalu ketika dirawat di Hospital Kepala Batas (HKB).

Katanya, sejak itu, anaknya dihantar untuk mendapat rawatan lanjut di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dijaga oleh isterinya, Aziah Ahmad, 33, yang terpaksa mengambil cuti separuh gaji daripada majikannya di Jabatan Imigresen di sini.

“Namun secara tiba-tiba isteri saya pula sakit kaki dan tidak mampu berjalan. Ujian X-ray yang dibuat di Klinik Kesihatan Penaga menunjukkan dia menghidap masalah tulang belakang.

“Selepas melakukan rawatan susulan di Hospital Seberang Jaya, isteri saya diarahkan menjalani pembedahan kira-kira tiga minggu lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia sewaktu menerima kunjungan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Zain Ahmad.

Tambah Mohd. Zaini, sejak isterinya dirawat di hospital, dia juga terpaksa mengambil cuti tanpa gaji bagi menguruskan keluarga termasuk dua lagi anak berusia tujuh dan sembilan tahun yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu.

Jelas Mohd. Zaini, isterinya kini masih menjalani rawatan fisioterapi di HKB kerana keadaannya yang lemah sekali gus tidak dapat menguruskan anaknya dengan sempurna.

“Buat masa ini Udin telah selesai menjalani empat pusingan kemoterapi namun masih perlu menjalani rawatan susulan termasuk melakukan transplan di Kuala Lumpur.

“Hasil ujian darah yang dilakukan doktor mendapati darah kakaknya sesuai untuk dipindahkan kepada Udin dan saya masih mencari belanja untuk melakukan rawatan itu,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara, Azura Ahmad berkata, pihaknya telah menyerahkan bantuan segera sebanyak RM300 kepada Aziah serta akan menguruskan bantuan pesakit terlantar kronik dalam masa terdekat.

Mereka yang ingin membantu Mohd. Zaini, boleh menghubunginya di talian 019-5602694.-UTUSAN ONLINE