Mohd. Aiman Faris Abdul Malik, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Valdor di sini, kini terlantar di katil akibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan malam bersama rakannya, 24 September lalu.

Ayahnya, Abdul Malik Abdul Rahman, 49, berkata, kejadian berkenaan menyebabkan anak­nya dirawat di Hospital Seberang Jaya sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang.

“Dia masih koma sehingga hari ini walaupun dibenarkan pulang ke rumah selain mengalami kecederaan pada bahagian kaki. Saya dimaklumkan Mohd. Aiman Faris mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala,” katanya ketika menerima kunjungan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, di rumahnya baru-baru ini.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian itu, Mohd. Norhiesam Ismail bersama wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Seberang Perai Selatan turut me­nyampaikan sumbangan peribadi dan barangan makanan kepada Abdul Malik.

Abdul Malik yang mengusaha­kan warung roti canai berkata, keluarganya kini menanggung perbelanjaan tambahan kerana anaknya bergantung kepada susu khas yang disalurkan melalui tiub.

“Harga susu berkenaan agak mahal kerana dalam tempoh tiga hari, saya membelanjakan kira-kira RM160 untuk susu sahaja atau le­bih kurang RM900 sebulan terma­suk untuk membeli lampin pakai buang untuk Mohd. Aiman Faris.

“Saya dan isteri, Gatijah Bee Samhoon tidak pernah berputus harap dan sentiasa berdoa agar anak kami pulih seperti biasa sebab sebelum ini, Mohd. Aiman Faris sering membantu saya di gerai sebelum dan selepas waktu persekolahan,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Abdul Malik di talian 013-4303914.