Bukan sahaja pelarian Rohingya, malah Malaysia turut menjadi destinasi pelarian lain seperti Palestin, Iraq dan Sudan.

Bergelar pelarian, kita semua maklum mereka datang ke negara ini sehelai sepinggang dan sangat-sangat memerlukan bantuan.

Terpanggil menghulurkan tangan dan meringankan beban, Azra Banu Mohd. Sidek, 54, bersama-sama tiga rakannya telah menubuhkan Carefugees pada 2013.

Melihatkan penderitaan pelarian yang bukan sahaja terdiri daripada orang dewasa malah paling menyedihkan golongan kanak-kanak yang terpaksa mengharungi segala kepayahan dan kelaparan, Azra Banu merasakan sudah tiba masanya mereka membantu.

Langkah pertama yang dilakukan, dia mengumpul kawan-kawan yang turut sama mahu membantu.

Akhirnya wanita ini dapat mengumpul seramai sepuluh ahli jawatan kuasa. Tugasan pertama yang mereka lakukan ialah mengadakan kempen Feed A Family, iaitu membekalkan makanan asas bagi pelarian-pelarian di Malaysia seperti beras, minyak, gula, teh, kopi dan susu.

Perbelanjaan untuk makanan asas ini sebanyak RM200 bagi satu keluarga dan terdapat seramai 600 orang pelarian yang perlu diberikan bantuan ketika itu. Ini bermakna mereka perlu mengumpul sebanyak RM120,000 bagi membeli makanan asas tersebut.

Menurut Azra Banu, mereka tidak menyangka pertama kali melancarkan kempen tersebut secara dalam talian, mereka dapat mengumpul lebih daripada jangkaan, iaitu sebanyak RM240,000.

“Kami tidak menyangka ramai masyarakat Malaysia yang bermurah hati dan bersedia menyumbang. Ini memudahkan kami memberikan bantuan kepada pelarian-pelarian.

“Kempen Feed A Family ini diteruskan setiap tahun dan menjadi kempen signatur Carefugees. Sehingga sekarang terdapat seramai 3,000 keluarga pelarian menerima bantuan daripada Carefugees yang membawa makna Care For Refugess.

“Rohingya merupakan pelarian yang paling ramai. Di Malaysia sahaja, terdapat lebih 40,000 pelarian Rohingya yang berdaftar sekarang, ditambah pula dengan pelarian dari Syria, Yemen, Pakistan dan Afghanistan.

“Selain itu, kami turut mengadakan aktiviti tahunan seperti bazar amal yang mana ahli-ahli kami atau sesiapa sahaja boleh menyumbang barang-barang yang tidak diperlukan untuk dijual seperti pakaian, permainan, pinggan mangkuk, perhiasan, kasut, beg tangan dan sebagainya. Hasil daripada jualan akan dimasukkan ke dalam tabung bagi kegunaan pelarian.

“Kami turut mengajar budak-budak di kem pelarian bermain bola sepak serta membuka klinik kesihatan. Kami mendapat kerjasama daripada pelajar-pelajar perubatan Universiti Malaya dan anjur program Korban setiap tahun,” katanya.

Tambahnya, Carefugees turut bekerjasama rapat dengan sebuah lagi NGO, iaitu Institut Kajian Sosial Malaysia (MSRI) dan membuka Pusat Sokongan Sahabat yang menyediakan kelas tuisyen bahasa Inggeris, komputer dan kraf tangan untuk golongan dewasa.

Pihaknya akan membayar gaji penterjemah, guru dan jurulatih yang ditugaskan mengajar kanak-kanak dan pelarian dewasa yang berjumlah RM70,000 setiap tahun dan semuanya adalah duit daripada sumbangan orang ramai.

Mengenai cabaran yang dihadapi, katanya, kaum pelarian sering meminta bantuan perubatan, bayaran menyewa rumah dan membayar bil tetapi semua itu terpaksa ditolak kerana dana begitu terhad.

“Mungkin masyarakat memandang pelarian ini membebankan. Mereka beranggapan golongan ini mahu mengambil hak kita apabila datang ke Malaysia. Ramai yang berpendapat seperti itu.

“Bagaimanapun cuba kita fikirkan mahukah mereka menjadi pelarian dan pergi ke negara lain jika mereka tidak berhadapan dengan masalah? Mereka juga mahu hidup aman. Mereka juga pernah mempunyai rumah di negara mereka, bekerja dan anak-anak ke sekolah tetapi kerana terpaksa, mereka menjadi pelarian.

“Sebagai sesama manusia, kita perlu membantu dan bagi diri saya sendiri, ini adalah isyarat daripada Tuhan untuk membantu. Ini bukan sekadar kepuasan diri tetapi sesuatu yang harus dibuat,” ujarnya yang sanggup melayan panggilan telefon daripada pelarian yang dalam kesusahan pada bila-bila masa.

Menjelang ketibaan Ramadan 2017 ini, Carefugees sudah pun merancang aktiviti bagi mengutip dana.

Enam minggu sebelum Ramadan, pihaknya akan menganjurkan aktiviti Run and Walk yang mensasarkan kutipan dana sebanyak RM50,000 bagi 200 peserta. Hasil kutipan akan digunakan membeli barang makanan untuk disumbangkan kepada pelarian sempena bulan puasa itu.

Kepada mereka yang ingin menyumbang kepada pelarian boleh menghubungi Azra Banu di 016-2094500 atau layari Facebook Carefugees.