NORHAYATI WAN ABIB
NORHAYATI WAN ABIB

Mereka yang terdiri daripada 58 penghuni pusat yang diwujudkan sejak 2011 itu, ternyata gembira setelah menerima lawatan secara percuma, kerana harga tiket ke taman impian kanak-kanak itu RM89 seorang bagi yang berumur empat hingga 17 tahun.

Pengurus pusat tersebut, Norhayati Wan Abib yang berterima kasih kepada Bank Rakyat menyatakan, pihaknya amat menghargai usaha bank tersebut kerana memberi peluang kepada golongan asnaf itu berkunjung ke taman tema kanak-kanak yang berstatus mewah.

“Mereka amat gembira dapat masuk ke sini. Kami tidak mampu untuk membawa para penghuni ke taman ini. Maklumlah, pusat kami bergerak atas sumbangan masyarakat. Saya uruskan pusat tersebut untuk anak-anak yatim, fakir, keluarga miskin, warga emas dan ibu tunggal yang daif.

“Mana-mana pihak yang mahu membantu kami, bolehlah menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank iaitu 562777212577 atau menghubungi saya menerusi 013-2714595,” ujarnya.

Semalam, Pengurus Perhubungan Awam dan Penjenamaan Korporat Bank Rakyat, Nizam Abu Samah mewakili bank berkenaan meraikan kanak-kanak tersebut, di taman tema hiburan yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan sebagai rakan kokurikulum bagi memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris murid tahun empat hingga tingkatan tiga itu.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani dalam kenyataannya memberitahu, program itu bersesuaian dengan konsep institusi perbankannya sebagai bank koperasi Islam penyayang.

Menurut beliau, program itu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi peluang kepada kanak-kanak tersebut merasai keseronokan dunia pekerjaan impian di Kidzania.

“Program ini dijayakan oleh 44 kakitangan Bank Rakyat yang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam bagi program Pengajian Kampus Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan, di  Universiti Utara Malaysia kampus Yayasan Bank Rakyat.

“Sepanjang program ini, mahasiswa terlibat turut menyalurkan sumbangan wang tunai dan keperluan sekolah seperti beg galas, tabung nuri dan pensil warna buat kumpulan sasar,” katanya. - UTUSAN ONLINE